Kongres Ekonomi Bumiputera Pendorong Utama Pertumbuhan Ekonomi Negara – Hasry Sham

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Para pemain industri, golongan profesional, pempengaruh dan usahawan muda Melayu mempunyai pandangan dan pengalaman serta mampu mencetuskan idea-idea baharu yang boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Selari dengan itu, Pengerusi Bersama Biro Ekonomi dan Usahawan Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasry Sham Chasmen menghargai penglibatan mereka yang telah bersama-sama mencambah idea dalam sesi meja bulat Pre-Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan baru-baru ini.

“Sesi ini menjadi platform utama buat para Pemuda khususnya untuk membincangkan strategi yang akan memperkukuhkan ekonomi orang Melayu, Bumiputera dan Malaysia amnya.

“Perbincangan mengenai pemerkasaan ekonomi Melayu melalui pendekatan kolaboratif dan penggunaan teknologi terkini turut menjadi tumpuan utama malah pelbagai pandangan yang diutarakan amat relevan dalam merealisasikan hasrat parti,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang berkata pelaksanaan pre-kongres ekonomi yang telah usai mampu menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Melalui perbincangan ini dapat dilihat bahawa kaum Bumiputera juga mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, menyatukan tenaga dan menyumbang strategi secara holistik bagi memajukan ekonomi bangsa.

“Inisiatif ini juga merangkumi pelbagai bidang dan peningkatan kebolehpasaran bagi mewujudkan masyarakat ekonomi yang dinamik dan mapan.”

Ujarnya, sesi meja bulat ini turut membincangkan pelbagai inisiatif keusahawanan untuk membantu golongan muda Melayu meneroka potensi perniagaan.

“Pembentangan kajian ekonomi terkini dan panel perbincangan dengan pakar industri menambah dimensi ilmu bagi para pemuda yang hadir malah ia tentunya akan dapat diaplikasi dalam ruang yang lebih luas kelak.”

Dalam hal ini Hasry juga mencadangkan agar kerajaan memberi mekanisme baharu bagi memudahcara usahawan Bumiputera untuk mendapatkan pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan untuk syarikat kecil atau kontraktor bertaraf G1-G4.

Terdahulu Persidangan Meja Bulat Pemuda UMNO Malaysia: Pre-Kongres Ekonomi Bumiputera telah yang berlangsung dengan jayanya di Ibu Pejabat Pemuda UMNO Malaysia, Menara Dato Onn pada Ahad.

Keesokannya disusuli Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.