PRK Kemaman: Pilih Calon Tepat, Beri Peluang UMNO/BN Berkhidmat – Othman Endut

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Para pengundi di Kemaman diingatkan agar memilih calon yang tepat dan memberikan peluang kepada calon UMNO/Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Othman Endut berkata, PRK ini merupakan ruang dan peluang yang terbaik untuk rakyat memilih calon mereka selepas kemenangan penyandangnya dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya.

“PRK di Kemaman ini adalah peluang untuk para pengundi di Kemaman terutamanya orang muda untuk membuat pilihan kerana kita tahu baru-baru apa yang berlaku nampaknya seolah-olah mereka tersalah pilih.

“Pada kali ini, berilah peluang kepada calon UMNO/BN untuk menjadi wakil rakyat di Kemaman kerana kita tahun calon Perikatan Nasional (PN) yang lalu telah melakukan kesalahan.

“Pastikan kita memilih calon yang tepat untuk menjadi wakil rakyat di Kemaman. Jangan lupa,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, adalah menjadi satu cabaran kepada UMNO/BN untuk menerangkan kelebihan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat khususnya dalam menempuh musim tengkujuh.

“Cabaran untuk kita menang di Kemaman adalah untuk menerangkan kelebihan disediakan oleh kerajaan kepada rakyat khususnya apabila musim banjir atau tengkujuh… bagaimana UMNO/BN dahulu dapat menguruskan sistem banjir dengan baik.

“Inilah cabaran untuk kita terangkan kepada para pengundi di Kemaman supaya membuat pilihan yang tepat,” katanya.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.