Forum Belanjawan 2024 Berlangsung Lancar, Penjelasan Terperinci Untuk Manfaat Rakyat
KUALA LUMPUR, 2 Nov – Forum Belanjawan 2024 yang diadakan sebentar tadi berlangsung dengan jayanya di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Diskusi tersebut mendapat respon memberangsangkan daripada anggaran keseluruhan 500 orang peserta iaitu dalam kalangan kepimpinan UMNO bahagian, ketua-ketua penerangan bahagian seluruh negara dan kepimpinan empat peringkat setempat serta terbuka kepada orang awam.
Program tersebut menyaksikan penerangan secara terperinci dilakukan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim yang bertindak sebagai panel.
Para peserta turut sama diberikan peluang untuk berdialog dengan timbalan menteri kewangan sebagai alternatif kepada mereka dalam menyampaikan intipati bajet tersebut di kawasan masing-masing.
Antara isu yang diketengahkan khalayak adalah membabitkan subsidi kepada rakyat iaitu sewajarnya masyarakat mendapat keuntungan.
Menerusi tinjauan UMNO Online, rata-rata daripada kepimpinan bahagian meluahkan kesyukuran dengan pengajuran program seumpama ini yang membuka peluang kefahaman berkenaan Belanjawan 2024.
Kata mereka penerangan diberikan sebaiknya, sekaligus dapat memberikan nilai tambah bagi memanfaatkan bajet tersebut untuk pembangunan di kawasan.
Program anjuran Penerangan UMNO Malaysia ini bermula pada jam 7.30 malam, dan turut sama dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi perbentangan pada13 Okt lalu berkata Belanjawan 2024 ini bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang melibatkan peruntukan RM393.8 bilion.
Ianya belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia, dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.
Antara inti pati Belanjawan 2024 ialah defisit fiskal 2024 diunjurkan berkurangan kepada 4.3 peratus daripada sasaran 5.0 peratus pada tahun ini.
Kerajaan juga akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac, 2024. – UMNO Online