SJPP Jamin Lebih 100 Ribu PKS, Nilai Keseluruhan Lebih RM75 Bilion – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100 ribu PKS.

Katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, ia merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih 75 bilion ringgit.

“Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga 20 bilion ringgit,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030, bahawa tempoh pemprosesan pensijilan halal telah dipendekkan daripada 51 kepada 30 hari.

“Usaha ini diterajui oleh Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama JAKIM sebagai satu usaha bagi memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal negara,” katanya.

Ahmad Zahid ketika ini sedang mengadakan lawatan kerja ke Berlin, Jerman termasuk perjumpaan dengan wakil Bosch-Haus serta Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (DIHK). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.