Sultan Johor Dipilih Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Perak Sebagai Timbalan

KUALA LUMPUR. 27 Okt – SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Jan 2024.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara hari ini.

KUALA LUMPUR, 27 Okt — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bergambar sebelum berlangsungnya Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Turut berangkat (dari, kiri) Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin manakala (dari kanan) Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Maklumnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga berkuat kuasa 31 Januari 2024.

“Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada hari ini bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

“Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Jumaat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit