Kerajaan Perpaduan Pandang Serius Syiar Islam, Manfaat Demi Rakyat – Isam

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa memaklumkan Belanjawan 2024 telah memperuntukkan sejumlah RM1.9 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam iaitu peningkatan sebanyak RM400 juta berbanding tahun lalu malah yang tertinggi setakat ini.

Katanya, geran bantuan sebanyak RM20 ribu kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut dikembalikan untuk menyokong fungsi sekolah berkenaan dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi.

“Peningkatan peruntukan dan langkah tersebut jelas membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu serius untuk menegakkan syiar Islam supaya dapat dihayati oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat kerajaan kerana meluluskan peruntukan Masjid Jamek Tunku Besar Tampin dan juga berharap kerajaan dapat membina sebuah masjid baharu di Pekan Gemas pada tahun depan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Selasa petang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin mengharapkan pemimpin-pemimpin pembangkang membuang sifat ego politik dan lakukan demi rakyat.

“Kerana keegoan politik tidak membawa sebarang makna dan manfaat kepada rakyat. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama bertimbang rasa dan membuka pintu seluas-luasnya kepada pembangkang untuk membuat rundingan. 

“Perkara berkaitan rundingan ini, bukanlah satu perkara yang baharu. Kaedah ini sudah lama terpakai di negara maju, khususnya apabila tiada parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Malahan, Pakatan Harapan (PH) sendiri juga pernah berbuat demikian dengan menandatangani perjanjian persefahaman bersama kerajaan yang dipimpin oleh Yang Berhormat Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini,” katanya lagi.

Ujarnya, kesemuanya itu perlu dibuat demi memikirkan kepentingan dan nasib rakyat di kawasan Parlimen masing-masing.

“Tempoh berkempen sudah lama tamat dan lantikan Perdana Menteri juga sudah dibuat. Sekarang ini adalah masa untuk berkhidmat,” tegasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.