Santuni Siswa Anak Johor, Suara Mereka Perlu Diperkasakan – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berpandangan golongan muda dan belia di negeri itu amat penting dan suara mereka perlu terus diperkasakan.

Mengambil peluang menyantuni Gabungan Mahasiswa Anak Muda Johor (GAJ) baru-baru ini, Onn Hafiz berkata semua pandangan dan keluhan mereka akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

“Syukur Alhamdulillah, saya berpeluang untuk meluangkan masa dengan GAJ di mana mereka membawa suara belia mahasiswa dari setiap pelusuk universiti di Malaysia selari dengan Teras 6: Orang Muda Johor menerusi Agenda Maju Johor 2030.

“Pelbagai idea, pandangan serta keluhan yang disuarakan oleh setiap wakil mahasiswa ini. Insya-Allah, semua pandangan dan keluhan ini akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dalam membantu mahasiswa-mahasiwa anak Johor demi kebajikan dan masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah; dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Chen Kah Eng; Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Haji Zulkifly Haji Mohd. Tahir; dan Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO), Mohd Gadaffie.

Tambah Onn Hafiz yang juga ADUN Machap, kerajaan negeri juga berharap hubungan yang terjalin dapat diperkukuhkan supaya agenda pembangunan golongan muda yang mampan dapat direalisasikan.

“Kerajaan negeri berharap hubungan perpaduan dan permuafakatan ini dapat diperkukuhkan dalam kalangan mahasiswa Johor supaya agenda pembangunan Orang Muda Johor yang mampan dapat direalisasikan.

“Ingatlah, jika belianya ampuh, negerinya akan kukuh,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.