Kerajaan Lebih Terbuka Terima Pandangan, Tidak Mahu AUKU Jurangkan Pelajar Dan Kerajaan

KUANTAN, 16 Okt – Kerajaan kini lebih terbuka untuk mendengar dan menerima pandangan diutarakan para pelajar di samping tidak mahu Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dijadikan sebagai punca keregangan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, agenda pemerkasaan mahasiswa bukanlah sekadar berkisarkan peraturan ataupun kebebasan yang diberikan.

“Merasmikan Hari Terbuka dan Ekspo Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-21. Turut berlangsung Program Bicara Madani: Agenda Pemerkasaan Mahasiswa.

“Soal agenda pemerkasaan mahasiswa bukanlah sekadar berkisarkan peraturan atau kebebasan yang diberikan. Tetapi ia sebenarnya merujuk kepada cara kita membangunkan kematangan dan kedewasaan para pelajar.

“Ini dibuktikan dengan tiada unsur campur tangan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam soal pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar dan pemberian autonomi untuk mengurus serta mengumpul dana bagi menjayakan sesebuah program dari kalangan pelajar itu sendiri,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, pelbagai inisiatif diumumkan oleh pihak kerajaan melalui pembentangan Bajet 2024 baru-baru ini bagi memacu kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara.

“Kita tidak mahu lagi AUKU dijadikan punca keregangan hubungan antara pelajar dengan pihak kerajaan. Malah, kerajaan kini lebih terbuka untuk mendengar dan menerima pandangan yang diutarakan.

“Berdasarkan pembentangan Bajet 2024 baru-baru ini, pelbagai inisiatif yang diumumkan bagi memacu kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara. Jika kita perhalusi satu persatu, ia sebenarnya adalah untuk memastikan keselesaan para pelajar sepanjang keberadaan mereka di universiti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjayakan konsep Malaysia Madani demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Pelajar yang berfikiran rasional dan menolak kejumudan mampu menyumbang kepada kestabilan negara. Tanpa kestabilan, sebarang usaha yang dilaksanakan tidak mungkin dapat direalisasikan.

“Maka, marilah kita bersama-sama menjayakan konsep Malaysia Madani demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara, insya-Allah. Tahniah dan selamat maju jaya kepada mahasiswa yang bakal bergraduasi nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.