UMNO Labuan Perjuangkan Hasrat Kembalikan Pulau Bebas Cukai Sepenuhnya, Beri Permit Import Beras

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Suatu ketika yang lalu Labuan adalah wilayah bebas cukai yang menjadi tumpuan bukan hanya warga tempatan tetapi tarikan kepada para pelancong dari dalam dan luar negara.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyatakan hasrat bahawa antara perjuangan terkini adalah mengembalikan kegemilangan Labuan sebagaimana yang pernah dikecapi suatu ketika yang lalu.

“Kini Labuan seakan terpinggir dari keistimewaan selaku Pulau Bebas Cukai apabila harga barangan amat tinggi termasuklah harga beras di pasaran yang tentunya ia memberi kesan sangat besar kepada kehidupan masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal ini, beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dan kunjungan dengan pihak berwajib termasuklah Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan, semalam agar pendekatan terbaik dapat dilaksana bagi mengembalikan kesejahteraan warga Labuan.

“Saya telah menyampaikan permasalahan yang Labuan dan rakyat hadapi dan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan termasuk usaha mengembalikan kegemilangan pulau terbabit selain memberikan permit import beras sendiri bagi Wilayah Persekutuan Labuan.

“Sekiranya cadangan ini dilaksanakan maka saya yakin bahawa pelbagai kegiatan akan kembali rancak khususnya industri pelancongan dan ini sudah tentu turut membantu menjana ekonomi masyarakat setempat.”

Katanya, dengan pendekatan terkini khususnya mengaplikasi teknologi moden selain penggunaan media sosial yang meluas serta sokongan daripada Kerajaan Pusat, maka tentunya usaha untuk mengembalikan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai akan tercapai.

“Labuan pernah menjadi destinasi pilihan dalam pelancongan sebelum ini, malah banyak penyertaan yang membabitkan industri tempatan dan antarabangsa yang secara langsung memberikan sokongan kepada masyarakat setempat, maka kerana itulah usaha yang kita lakukan sekarang ini tidak mustahil.

“Kita mahukan kehidupan yang seimbang iaitu kemajuan dan kejayaan seiring dengan masyarakat Labuan dapat menjana ekonomi melalui pelbagai sektor yang di sokong oleh Kerajaan Persekutuan serta semua agensi,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit