Jerebu: Ahmad Zahid Ingatkan Orang Ramai Agar Peka Dengan Keadaan Semasa

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan semasa berikutan situasi perubahan cuaca dinamik.

Jelasnya, peralihan monsun telah membawa kepada cuaca panas dan kering serta mengakibatkan jerebu.

“Memandangkan negara berhadapan dengan perubahan cuaca yang dinamik susulan peralihan Monsun yang telah membawa kepada cuaca panas dan kering serta mengakibatkan jerebu yang membawa kepada Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di beberapa negeri.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko diancam penyakit akibat jerebu agar sentiasa peka dengan keadaan semasa dan amaran yang dikeluarkan oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, saya telah mengarahkan agar semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana untuk sentiasa bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa merujuk maklumat terkini mengenai situasi cuaca di laman sesawang rasmi Jabatan Alam Sekitar.

“Saya juga menasihatkan orang ramai untuk sentiasa merujuk kepada maklumat yang terkini dan sahih antaranya melalui laman web Jabatan Alam Sekitar di pautan https://apims.doe.gov.my/home.html dan MET Malaysia di pautan www.met.gov.my, media sosialnya serta memuat turun aplikasi myCuaca.

“Semoga kita semua sentiasa dilindungi dari sebarang musibah yang boleh membawa kepada masalah kesihatan, harta benda dan mengancam nyawa,” katanya lagi.

Petang tadi media melaporkan sebanyak 12 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras tidak sihat setakat 4 petang ini, dengan Nilai di Negeri Sembilan menjadi kawasan paling terjejas dengan catatan IPU 162.

Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Cheras dan Batu Muda di ibu kota masing-masing merekodkan bacaan 161 dan 137 manakala di Putrajaya 154. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit