Isu Kartel Beras: Pihak Kerajaan Perlu Lakukan Penguasaan Ketat, Menyeluruh – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Penguatkuasaan yang ketat dan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membanteras isu kartel dan juga ketiadaan bekalan beras tempatan pada ketika ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kartel-kartel beras ini telah menjual beras standard dengan harga beras hancur.

“Jawapan kepada persoalan saya sebelum ini sudah terjawab, beras A adalah beras standard (SST) manakala B adalah beras hancur.

“Tetapi di sisi mata kartel-kartel ini, beras tempatan telah bertukar menjadi beras hancur seperti dalam gambar di bawah.

“Disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel-kartel beras ini telah menjual beras standard dengan harga beras hancur,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, kerajaan telah memberi pelbagai subsidi agar beras tempatan ini dijual dengan harga rendah namun ianya telah dimanipulasi oleh kartel-kartel.

“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 setiap kilogram (kg), tetapi kartel ini telah menjual dengan harga RM3.40 (kg) apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur. Inilah antara pengkhianatan yang menekan rakyat di bawah.

“Kerajaan telah beri pelbagai subsidi untuk memastikan beras tempatan ini dijual dengan harga yang rendah, tetapi mereka ini telah mengkhianati kita semua.

“Beras tempatan ada, tetapi ia telah dikhianati oleh puak2 ini dan akhirnya rakyat yang menderita. Apakah solusinya?” katanya lagi.

Menurutnya, Lembaga Padi dan Beras perlu diwujudkan semula bagi membendung segala isu berkaitan makanan ruji rakyat ini.

“Penguatkuasaan yang ketat dan secara ‘total’ perlu dilakukan. Lembaga Padi dan Beras perlu diwujudkan semula. Jangan ingat kilang di luar melaka kita tidak mempunyai sebarang maklumat. Nasib baik kilang ini di luar Melaka, jika dalam Melaka memang siap kena sita ni.

“Ini baru satu, ada banyak lagi pendedahan akan kita lakukan. Selagi ianya adalah berkaitan dengan hak rakyat, selagi itu kita akan pertahankan dan lawan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit