Komen Ucapan PM di UNGA, Muhammad Sanusi ‘Kaki Fitnah’ – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pemimpin ‘kaki fitnah’ apabila memberi komentar mengenai ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada minggu lalu.

Ini kerana katanya, beliau turut menghadiri perhimpunan tersebut dan menjadi ‘saksi hidup’ di dalam Dewan Persidangan Utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika Anwar berucap.

“Astaghfirullah. Itu kata hati nurani saya bila mendengar komen Sanusi mengenai ucapan Anwar Ibrahim di UNGA ke-78 di New York. Saya hadir di UNGA tersebut. Saya saksi hidup. Saya di dalam Dewan Persidangan Utama PBB. Saya duduk di kerusi VIP bersama Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Mohamad Sharkar.

“Bahkan saya hadir tiga hari berturut turut (Selasa – Khamis) mendengar ucapan ketua-ketua negara lain sebelum PMX berucap pada hari Jumaat. PMX diberi sembilan kali tepukan gemuruh dalam ucapan 15 minit itu.

“Mukadimah sahaja dapat tepukan gemuruh bila PMX sentuh isu perang Russia-Ukraine yang beri kesan buruk kepada global. Ketika Presiden Iran berucap, dia mengangkat Al-Quran tetapi tidak ada siapa yang tepuk tangan. Ucapan Presiden Amerika juga tiada sambutan dari perwakilan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, Perdana Menteri New Zealand, Christopher John Hipkins turut menzahirkan kelegaan kerana menjadi orang ketiga berucap selepas Anwar.

“Perdana Menteri New Zealand beritahu dia rasa lega kerana orang ketiga berucap selepas Anwar. Dia rasa tenggelam jika berucap lepas Anwar.

“Dalam 15 minit itu PMX sentuh isu perang Russia-Ukraine, Palestin, Myanmar, Islamfobia, low carbon and renewal energy roadmap oleh Malaysia dan rasisme bentuk baru,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggelar Muhammad Sanusi dengan gelaran ‘pemimpin pembohong’ nombor satu Malaysia kerana menggunakan gambar-gambar di UNGA ke-78 tanpa usul periksa.

“Ternyata Sanusi kaki fitnah apatah lagi guna gambar gambar tanpa usul periksa. Saya rakam banyak foto yang saya lampirkan.

“Sanusi Menteri Besar. Oleh kerana saya saksi hidup maka dia wajar digelar ‘pemimpin pembohong’ nombor satu Malaysia,” katanya lagi.

Tema perbahasan umum UNGA tahun ini ialah Membina Semula Kepercayaan dan Menghidupkan Semula Perpaduan Global: Mempercepatkan Tindakan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke Arah Keamanan, Kemakmuran, Kemajuan dan Kemampanan Untuk Semua.

Semasa memberikan ucapan, PMX menyentuh beberapa isu seperti konflik di Ukraine, kemanusiaan Afghanistan, Palestin, perubahan iklim global, Islamophobia dan Malaysia Madani.

Pada Ahad media melaporkan Muhammad Sanusi memperlekeh penampilan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York semalam yang disifatkannya sebagai hambar dan gagal mendapat perhatian pemimpin dunia.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata situasi dewan yang lengang ketika Anwar berucap menyampaikan Kenyataan Negara malam semalam, cukup memalukan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, Bentong. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit