Perjuangan UMNO Tidak Tergadai Kerana Kerjasama Bersama Dap, Pengimbang Jaga Kepentingan Melayu-Islam

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Perjuangan UMNO tidak akan tergadai kerana kerjasama UMNO-Dap malah parti itu boleh menjadi pengimbang dalam Kerajaan Perpaduan demi menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, UMNO-Dap perlu meningkatkan persefahaman dan keserasian antara dua parti demi membantu kelangsungan Kerajaan Perpaduan.

“UMNO-Dap perlu meningkatkan persefahaman mereka. Keserasian antara dua parti akan membantu kelangsungan Kerajaan Perpaduan sehingga cukup penggal.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) beri ruang menguji keserasian UMNO-Dap. PRK Simpang Jeram dan Pulai telah membuka jalan. PRK Pelangai medan mematangkan lagi keserasian itu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambahnya, UMNO perlu lebih agresif dalam memberi penjelasan kepada jentera, ahli dan akar umbi mengenai kerjasama yang termeterai ini.

“Sebab itu UMNO mesti agresif beri penjelasan kepada jentera, ketua cawangan dan akar umbi mengenai rasional kerjasama UMNO-DAP.

“Perjuangan UMNO tidak tergadai kerana kerjasama UMNO-DAP. UMNO boleh jadi pengimbang dalam kerajaan perpaduan untuk jaga kepentingan Melayu dan Islam.

“Apabila Malaysia baik dengan Iran, tidak bermakna Malaysia jadi Syiah. Kerjasama Malaysia-China tidak menjadikan Malaysia negara komunis,” katanya.

Jelasnya, idea Chinese Consultative Council (CCC) yang dibawa bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad mendapat kecaman hebat, namun membuka jalan kepada tahalluf siyasi.

“Apabila bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad bawa idea Chinese Consultative Council (CCC) dalam Pas, dia dikecam hebat bila Pas kalah teruk dalam pilihanraya umum tahun tersebut.

“Tetapi itu membuka jalan kepada tahalluf siyasi Pas. Akhirnya parti itu bekerjasama dengan Dap di zaman Semangat 46 dan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Menurut Mohd Puad lagi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membuat keputusan konsensus dengan menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Zahid melakukan perkara hampir sama. Dia memimpin UMNO buat keputusan konsensus menyertai Kerajaan Perpaduan yang di dalamnya ada Dap.

“Ia membuka jalan persefahaman UMNO-Dap. Anthony Loke lebih terbuka. Dia lebih reasonable dari pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang ‘histeria’. Keserasian UMNO-Dap ancaman kepada PN,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit