Malaysia Terus Tarik Pelaburan Asing – Tengku Zafrul

NEW YORK, 20 Sept – Malaysia terus menarik pelaburan besar dari syarikat-syarikat global kerana kestabilan politik semasa, ekosistem rantaian bekalannya yang kukuh dan peranan penting yang dimainkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China turut menguntungkan negara-negara anggota ASEAN, dengan beberapa syarikat berpindah ke Malaysia dan Vietnam untuk menyelaraskan semula rantaian bekalan mereka.

Menurut Tengku Zafrul, situasi politik Malaysia tidak lagi menjadi kebimbangan utama dalam kalangan bakal pelabur.

“Perdana Menteri kita adalah jurujual terbaik Malaysia. Beliau memudahkan kerja saya,” kata Tengku Zafrul secara berseloroh semasa sidang media bersama media Malaysia di luar sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di sini.

Tengku Zafrul menambah pengaruh dan kerja keras Anwar begitu jelas semasa menghadiri beberapa penglibatan antarabangsa termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta baru-baru ini dan lawatan kerja yang begitu padat (selama 14 jam) ke Nanning, China hanya beberapa hari lepas.

“Beliau turut menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kuching dan kemudian segera terbang ke Nanning dan tiba di sana pada jam 4 pagi.

“Dalam lawatan singkat Anwar ke Nanning, Perdana Menteri menghadiri beberapa acara dan bertemu dengan Perdana Menteri China Li Qiang, pertemuan kali ketiga bagi kedua-dua pemimpin untuk tahun ini,” kata Tengku Zafrul.

Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pelabur China di Malaysia, China Communications Construction Company (CCCC) dan Huawei, serta menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat dari kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua industri apabila tiba di New York pada Rabu untuk menghadiri UNGA, kata Tengku Zafrul.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat dengan Fortune 500 Companies, dan sesi penglibatan dengan Invest Malaysia New York.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur baharu yang berpotensi dari AS seperti Boeing, Kimberly Clark, Phillip Morris International, dan Procter & Gamble (P&G). – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit