Lompat Parti : Tidak Jelas Hala Tuju? Atau Ada Tujuan Tersembunyi… – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah membidas pihak yang berselindung di sebalik alasan kononnya UMNO tiada hala tuju yang jelas sebagai tindakan meng’halal’kan perbuatan meninggalkan parti.
Tegasnya, pucuk pimpinan telahpun menggariskan hala tuju parti dan ini termasuklah juga merencana beberapa cadangan seperti kuasa autonomi di negeri Sabah.
“Adalah tidak boleh diterima apabila mereka yang meninggalkan parti dengan memberi alasan bahawa UMNO masih tiada hala tuju yang jelas. Ini kerana segalanya telah dimaklumkan. Pucuk pimpinan telah menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan dan ahli parti di semua peringkat termasuk di Sabah.
“Malah cadangan-cadangan untuk memberi kuasa autonomi yang UMNO Sabah inginkan juga sedang dipersiapkan. Jawatankuasa Khas bersama berkaitan dengannya juga telah dibentuk dan berfungsi.
“Presiden UMNO juga telah nyatakan persetujuan ketika perjumpaan dengan pimpinan UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah di Kota Kinabalu. Justeru perkara ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.
Justeru itu Shamsul yang juga ahli Parlimen Lenggong menyeru kepada semua pendukung parti berganding bahu memperjuang dan memperkasakannya.
“Yang masih bersama UMNO mari bersama kita lakukan. ‘UMNO mahu menang dan kembali berkuasa’ selepas ini. Inilah hala tuju yang telah dipersetujui bersama sebagaimana yang diumumkan Presiden UMNO sewaktu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 lalu,” serunya.
Semalam, ramai pemimpin parti dari Sabah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan, Datuk Hajiji Mohd Noor dan Bahagian serta beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan keluar UMNO dengan menggunakan alasan tersebut.
Sebab itulah jelasnya lagi, UMNO percaya mereka sebenarnya meninggalkan parti dengan tujuan dan matlamat yang lain.
“Cuma hanya menjadikan hala tuju kurang jelas sebagai alasan. Apatah lagi soal hala tuju boleh dibincang dan dilakukan secara bersama jika kita sayangkan UMNO.
“Dugaan dan cabaran yang UMNO hadapi memang besar. Hanya yang setia, faham idealisme serta perjuangan UMNO iaitu demi agama, bangsa dan negara saja akan kekal.
“Justeru saya ingin nyatakan bahawa dalam keadaan sukar manapun UMNO tetap kekal untuk berbakti di Sabah,” ujarnya.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Shamsul berkata pelantikan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga satu-satunya ahli Parlimen dari Sabah yang kekal di dalam UMNO sebagai pengerusi badan perhubungan negeri adalah satu langkah yang tepat.
“Malah kita percaya dengan gandingan muka-muka baru ia akan lebih meningkatkan keyakinan rakyat kepada UMNO di Sabah.
“Situasi ini memberi peluang UMNO Sabah untuk dipulihkan segera dengan semangat dan jiwa baru serta berfungsi dengan sempurna,” katanya.
Shamsul turut berkeyakinan masa depan UMNO di Sabah tetap kuat kerana UMNO menang banyak kerusi di Sabah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Ini masa terbaik pimpinan baru yang berwibawa dibawa masuk bagi memimpin UMNO di Sabah,” tegasnya. – Media UMNO.