Tauke Kontroversi Beli Potret Pemimpin PH : Rasuah Terbuka Ala Malaysia Baru?
BATU PAHAT, 13 Dis – Adakah Pakatan Harapan (PH) cuba memberitahu rakyat bahawa mereka mengamalkan rasuah terbuka atau rasuah halal?, soal Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Dalam hantaran di Facebooknya, Puad menimbulkan persoalan tersebut berikutan beberapa ahli perniagaan kontroversi berjaya membida beberapa potret pemimpin PH sempena ‘PH Charity Dinner’ Ahad lalu.
“Apakah mereka yang membida itu tidak ada tujuan lain iaitu membida gambar pemimpin dengan bayaran tinggi untuk melobi kontrak kerajaan? Apatah lagi ada yang membida itu adalah ahli perniagaan kontroversi.
“Kita mendesak SPRM memantau latar belakang pembeli. Apakah dalam tempoh tujuh bulan ini mereka mendapat atau melobi projek?,” soalnya lagi.
Menurutnya, di dalam majlis makan malam tersebut, beberapa ahli perniagaan sanggup membeli potret pemimpin PH dengan harga yang amat tinggi sehingga mencecah ke angka RM500 ribu.
“Potret Perdana Menteri (PM) ada yang terjual dengan harga RM500 ribu dan RM350 ribu. Potret Wan Azizah RM150 ribu, potret Muhyiddin RM110 ribu.
“Potret dua beranak Guan Eng dan Kit Siang RM100 ribu dan potret Mat Sabu cuma laku RM10 ribu sahaja (itu pun agaknya ‘over market value’),” katanya.
Puad juga percaya sememangnya pembida yang berjaya adalah mereka yang mempunyai beberapa kontroversi sebelum ini.
“Deepak Jaikishan perniaga karpet membeli potret Wan Azizah dengan harga RM150 ribu. Beliau sebelum ini penyokong Barisan Nasional (BN) tetapi apabila perniagaan beliau bermasalah dia mula memburukkan Najib dan Rosmah.
“Stanley Thai bekas pengasas Supermax membeli potret PM dengan harga RM350 ribu. Sebulan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Stanley memohon maaf kepada Najib. Beliau pernah dipenjarakan kerana kesalahan ‘inside trading’ dan menyokong pembangkang di PRU13,” katanya.
Begitu juga dedahnya lagi, PH terpaksa memanipulasi gambar demi mendapatkan keuntungan.
“Sekeping gambar yang dipinda dibeli dengan harga RM500 ribu. Kalau ikut gambar asal ada wajah Menteri Keusahawanan Redzuan Othman berdiri di belakang Mahathir. Wajah Redzuan dibuang.
“Tetapi bos Platinum Victory Datuk Gan Yee Hin sanggup membelinya dengan harga termahal iaitu RM500 ribu. Apakah beliau tutup mata sebelah untuk dapatkan pulangan yang lebih besar?,” soalnya lagi.
Justeru, Puad berpendapat rakyat berhak curiga tindakan mereka ini kerana seolah-olah ada udang di sebalik batu sepertimana tauke (ahli perniagaan) yang mendapat projek membina Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di era BN memerintah turut membida.
“Mungkin tauke ini bimbang projek beliau dibatalkan,” sinisnya.
Puad turut membidas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang mengatakan kesemua itu merupakan kutipan derma politik yang telus.
“Wan Azizah kata ini adalah kutipan derma politik yang telus. Tetapi kita bimbang ini adalah keterbukaan yang melindungi rasuah yang berlaku di belakangnya.
“Maka wajar Akta Dana Politik di bawah segera ke Parlimen. Jangan nanti derma politik parti lawan dituduh sebagai duit curi… didakwa menggunakan Akta AMLA. Lebih teruk akaun parti lawan dibeku sewenang-wenangnya,” tegasnya. – Media UMNO