Tubuh Jawatankuasa Pemantau, Elak Skandal Rasuah Di Jabatan Air Sabah Berulang – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU, 13 Sept – Kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa pemantau bagi memastikan peruntukan tambahan RM800 juta dapat menyelesaikan isu bekalan air di negeri Sabah.

Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, rakyat di Sabah sudah lama mengalami pelbagai trauma berikutan beberapa kejadian di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membabitkan skandal rasuah bernilai jutaan ringgit pada 2016 lalu.

Katanya, akibat kejadian lalu kini rakyat Sabah menerima kesan besar sehingga beberapa kawasan utama mengalami kekurangan bekalan air sekali gus berharap agar ‘wise managment’ tidak berulang kembali.

“Besar harapan rakyat Sabah agar peruntukkan ini dapat dikawal selia dengan baik serta dipantau oleh Kementerian Kewangan Persekutuan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar rasuah tidak berlaku.

“Kita tidak mahu ia akan berulang lagi, rakyat Sabah sudah trauma dengan kejadian lalu. Kita tidak mahu isu lama berlaku lagi…isu air perlu diselesaikan segera memandangkan ia merupakan keperluan utama rakyat di Sabah,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Jeffrey merupakan Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah mengulas kerajaan persekutuan yang bersetuju menyalurkan bantuan segera bernilai RM800 juta, yang merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan mencecah RM5 billion menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar mengumumkan semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 di Parlimen isnin lalu.
Jeffrey Nor berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan yang begitu memahami keluh serta resah rakyat di Sabah sejak sekian lama.

“Tidak kira siapa yang minta peruntukkan ini, paling penting Kerajaan Persekutuan sendiri tahu bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak dapat menyelesaikan masalah air bersih ini akibat kekurangan dana.

“Sebelum ini kita mendengar Kerajaan Negeri mengumumkan keuntungan berbillion-billion ringgit….Saya tidak faham mengapa masalah asas utama rakyat termasuk bekalan air bersih ini terabai sehingga menunggu bantuan daripada kerajaan pusat,” kata Jeffrey. – SabahNewsToday

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.