Poliklinik, Parkir Kenderaan Bertingkat Di HSA Beri Keselesaan, Kemudahan Kepada Pengguna

JOHOR BAHRU, 4 Sept – Projek pembinaan poliklinik dan tempat letak kenderaan bertingkat baharu yang akan dilaksanakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dijangka akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna hospital tersebut.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hospital awam itu, merupakan antara yang tersibuk dalam negara dengan mengendalikan 2,134 orang pesakit luar dan 460 orang pesakit di wad kecemasan sehari, menyebabkan keadaannya menjadi padat serta sesak.

“Syukur Alhamdulillah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan RM500 juta untuk menaik taraf HSA.

“Terima kasih perdana menteri atas kelulusan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Semalam, Anwar bersama-sama Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan Onn Hafiz, mengadakan lawatan ke HSA dan mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM500 juta bagi projek pembangunan fasa pertama infrastruktur hospital berkenaan.

Perdana Menteri berkata bagi fasa pertama projek itu, pembinaan parkir bertingkat akan dilaksanakan segera dengan proses pembinaan mesti dilakukan bermula tahun ini. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit