Beri Sokongan Kepada Presiden Untuk Bangkit Perkasakan Kembali UMNO – Siti Aminah

KOTA KINABALU, 29 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Siti Aminah Aching mengajak anggota parti semua peringkat dari negeri, bahagian dan akar umbi supaya mendukung usaha yang dilakukan oleh kepimpinan pusat untuk menyelesaikan masalah berikutan reputasi sokongan yang menyusust kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam enam PRN baru-baru ini.

Katanya, mendesak Presiden berundur belum tentu dapat menyelesaikan masalah, selain tindakan tersebut akan diambil pihak lawan untuk terus menebarkan presepsi kepada rakyat khususnya ahli parti yang UMNO kini berada dalam kedudukan lemah.

“Atas dasar ini, kita berharap kepada kepimpinan negeri, bahagian serta akar umbi bahawa dukungan harus diberikan kepada kepimpinan pusat khususnya institusi Presiden bagi kembali memperkasakan parti,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin.

Menurut Siti Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komuditi, kesepaduan antara pemimpin pusat serta anggota di peringkat negeri, bahagian dan cawangan adalah penting bagi memastikan UMNO terus kukuh khususnya bagi berhadapan dengan peperangan yang lebih besar lagi iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang.

Katanya, kesiapsiagaan UMNO dalam menghadapi PRU-16 lebih penting kerana kesatuan yang kukuh dalam semua saf kepimpinan parti perlu ada.

“Kita akan berhadapan dengan PRU yang lebih besar pada masa akan datang, justeru tugas ahli parti bukan sahaja memberikan ‘roh’ dan semangat, tetapi juga perlu diisi dengan tindakan taktikal yang dapat menjamin kemenangannya,” tegas Siti Aminah.

Sehubungan itu jelas Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, semua pihak dalam UMNO perlu berhenti menuding jari antara satu sama lain dan tidak melayani sebarang desakan yang meminta Presiden meletak jawatanya apatah lagi kebanyakan desakan tersebut datangnya dari orang luar dari parti.

“Masanya tiba untuk kita berpaut kembali, melihat kelemahan atau kesilapan memperbaiki tindakan dan pendekatan yang lebih baik serta berkesan demi kelangsungan perjuangan parti keramat ini,” tambah Siti Aminah lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.