Kehadiran Parti Kerajaan Perpaduan Pada PAU Sebahagian Proses Pengukuhan – Sharkar
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Kehadiran parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 tidak seharusnya menjadi polemik khususnya di kalangan ahli-ahli UMNO kerana itu adalah sebahagian daripada proses permulaan untuk mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada.
Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin tentunya usaha ke arah pengukuhan mesti diambil setelah masing-masing membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
Menurut beliau kerjasama yang terbentuk itu dalam usaha menubuhkan sebuah kerajaan setelah masing-masing tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan sehingga memakan masa beberapa hari.
“Lantaran itu kerajaan perpaduan ini perlu diperkukuhkan dari semasa ke semasa… justeru langkah menjemput parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini adalah tepat.
“Sepertimana yang saya katakan tadi bukankah ini proses pengenalan… masing-masing boleh melihat dan mengetahui bagaimana UMNO melaksanakan acara tradisi tahunannya.
“Bahkan lebih utama dan amat penting kehadiran mereka pada perasmian PAU nanti sudah pasti akan dapat mendengar apa yang akan digariskan okeh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jadi bukankah ini memberi makna yang amat signifikan kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Tambah beliau lagi masing-masing sudah tentu akan peka terhadap apa yang digariskan sekaligus memberi kelebihan kepada semua parti untuk sama-sama peka dalam usaha mengukuhkan jalinan kerjasama hari ini.
Malah kata beliau lagi dalam tempoh terdekat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di beberapa negeri, sudah tentulah jalinan permuafakatan yang ada perlu diperkemaskan sebaiknya.
“Jadi usahlah kita berpolemik dan bermain politik yang memecahkan kestabilan… sama-sama kita pertahan dan sama-sama kita perkukuhkan dalam senario politik semasa hari ini. Kita bergerak ke depan… kukuhkan Kerajaan Perpaduan demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UMNO Online