Kembalikan Kestabilan Dan Kemakmuran Negara Dengan Memilih UMNO/BN

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ketidakstabilan politik yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengakibatkan pelbagai implikasi kepada negara dan hanya boleh diubah sekiranya UMNO/Barisan Nasional (BN) menang secara majoriti pada PRU kali ini.

Adik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Hakim Hamidi berkata, ketidaktentuan politik dan ekonomi yang berlaku pada ketika ini menyebabkan pelabur asing ragu-ragu untuk melabur di negara kita.

“Saya harap kemenangan yang Insya-Allah bakal kita peroleh nanti dapat merubah politik negara terutamanya dalam membentuk semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan yang kita inginkan.

“Buat masa ini, ketentuan ekonomi dan politik amat meruncing menyebabkan pelabur asing dan domestik skeptikal serta ragu-ragu untuk melabur. Insya-Allah kalau kali ini UMNO/BN menang, kita ambil balik kepimpinan negara dan stabilkan semula politik dan ekonomi,” katanya kepada UMNO Online.

Abdul Hakim turut berpesan kepada para pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka bagi membentuk kerajaan yang stabil dan membangunkan semula negara.

“Pesanan kepada pengundi, pastikan anda semua keluar mengundi. Kalau boleh, biar 99.9 peratus yang keluar kerana undi ini yang akan menentukan kerajaan selepas ini.

“Dalam memastikan negara memperoleh semula kestabilan bagi membentuk kemakmuran negara, pilihlah UMNO/BN kerana hanya parti ini mampu untuk mengembalikannya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, anak kepada Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid turut mengakui bahawa hanya UMNO/BN yang boleh mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi yang telah dirampas hampir empat tahun.

“UMNO/BN perlu dan mesti menang kerana kestabilan dan kemakmuran negara telah dirampas selama hampir empat tahun selepas PRU ke-14.

“Hanya parti ini sahaja yang mampu untuk mengembalikan segala kemakmuran negara berdasarkan track record lebih 60 tahun memerintah negara,” katanya.

Beliau turut berpesan dan merayu kepada para pengundi untuk memilih UMNO/BN supaya kestabilan serta kemakmuran negara dapat dikembalikan.

“Pesanan saya kepada para pengundi, saya merayu kepada semua. Cukup-cukuplah kita mengalami ketidakstabilan negara selama hampir empat tahun ini.

“Insya-Allah, semoga Allah kembalikan kegemilangan UMNO/BN selama lebih 60 tahun memerintah kepada kemenangan yang akan diterjemahkan pada PRU ke-15 ini,” katanya lagi.

PRU ke-14 telah meninggalkan kesan dan impak yang cukup besar dalam landskap politik negara. Kerajaan baharu di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) yang menggantikan Barisan Nasional (BN) dan kemudian diambil alih oleh Perikatan Nasional (PN) menunjukkan politik Malaysia tidak stabil kerana sentiasa terdedah dengan ugutan.

Pada hakikatnya UMNO/BN sentiasa mahu mewujudkan kerajaan yang lebih stabil memandangkan hampir empat tahun ini ketidakstabilan negara telah menjejaskan prestasi dan keyakinan pelabur luar. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit