Kemeriahan Hari Pertama PAU 2021 Bermula, Kekal Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bermula hari ini menyaksikan penganjurannya diadakan sepenuhnya secara bersemuka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Malam ini menyaksikan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Seterusnya, perhimpunan Wanita dan sayap-sayap dilakukan secara berasingan pada esok masing-masing di Dewan Merdeka, Dewan Tun Razak manakala Puteri di Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn.

Bagi memastikan kelancaran perhimpunan agung, kali ini Skuad Sabil ditugaskan untuk melakukan kawalan di setiap dewan dan sekitar perkarangan kawasan terbabit bagi memastikan peraturan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Menginjak ke tahun kedua penganjurannya ketika pandemik COVID-19, PAU kali ini masih mengekalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiap perwakilan yang hadir wajib memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan sanitasi dan MySejahtera.

Malah antara yang akan menjadi keutamaan adalah perwakilan yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam dewan.

Urus setia Ibu Pejabat UMNO juga turut menyediakan QR code di setiap dewan-dewan utama bagi memudahkan perwakilan melakukan imbasan MySejahtera.

Pada Jumaat, dijadualkan perhimpunan agung akan dimulakan dengan acara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai simbolik perasmian persidangan yang kemudiannya akan diikuti ucapan dasar Presiden. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.