Selamat Datang Perwakilan, Terus Sematkan Perjuangan – Hasmuni
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kehadiran para perwakilan seluruh negara ke Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang bermula hari ini.
Penolong Setiausahanya Datuk Hasmuni Hasan berkata begitu juga dengan perwakilan pergerakan itu yang datang daripada seluruh bahagian dan berharap masing-masing hadir dengan semangat tradisi perjuangan parti untuk membela agama, bangsa dan negara.
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan bermula pada hari ini 16 Mac 2022. Pada malam ini akan berlangsung majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO oleh Datuk Seri Utama, Haji Mohamad bin Haji Hasan, Timbalan Presiden UMNO.
“Saya selaku Setiausaha, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengalu-alukan kehadiran perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh negeri ke Perhimpunan Agung UMNO 2021 ini.
“Sematkan di dada dan pasangkan niat bahawa dengan kehadiran kita ke perhimpunan ini bakal menyuburkan ukhuwah dan silaturahim, memantapkan dan memperkasakan perjuangan serta memperkemaskan strategi dan gerakan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau seterusnya mendoakan agar PAU 2021 berjalan sebaiknya dan apa yang penting para perwakilan dapat membawa balik segala amanat yang dilontarkan oleh pimpinan ke seluruh negara nanti.
“Saya mendoakan semoga segala urusan kita dalam perhimpunan agung ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan, setiap titis keringat yang gugur daripada usaha kita akan dirahmati dan diberkati juga oleh Allah serta memberi kemenangan kepada UMNO,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Azman Abas