Semangat Kemenangan Dua PRN Dibawa Ke PAU 2021

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula hari ini menjadi detik amat bersejarah dan dinanti-nantikan oleh semua perwakilan, menurut Jurucakap Usul PAU, Datuk Mustafa Musa.

Katanya, perhimpunan kali ini membawa semangat selepas kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) memenangi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor.

“Lebih menarik lagi pada Perhimpunan Agung UMNO kerana baharu selesai mendapat kemenangan yang cukup bergaya pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi DUN serta dapat menembusi kubu kuat pembangkang.

“… dan turut mencapai kejayaan yang cukup cemerlang pada PRN Johor dengan memperolehi 40 kerusi DUN daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Kedua-dua pilihan raya ini menunjukkan sokongan rakyat dan keyakinan rakyat terhadap UMNO/ BN telah meningkat.

“Inilah masa yang cukup sesuai untuk UMNO memperkasakan saf semula kepimpinan dan menjadikan kedua-dua pilihan raya ini sebagai satu motivasi bagi melonjakkan semangat akar umbi UMNO menjelang PRU 15,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka merasa yakin semangat dan kerjasama pada PRN Melaka dan Johor ini dapat diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin dengan roh, semangat, kerjasama dan momentum ini dapat dipertahankan. Sejarah kecemerlangan di Melaka dan Johor dapat ditonjolkan oleh UMNO/BN pada PRU-15 seterusnya dapat merampas kembali ke Putrajaya serta negeri-negeri di seluruh Malaysia,” ujarnya.

PAU 2021 bermula hari ini hingga Sabtu, 19 Mac ini dan seramai 5,571 perwakilan akan menghadiri di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL). – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.