Perhimpunan Agung UMNO Simbolik Depani Cabaran, Perkasa Parti Demi Masa Hadapan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 diharap dapat mencapai matlamat khususnya dalam mendepani masa depan parti yang lebik baik.

Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Shukri Samsudin beliau mahu ketetapan yang jelas dapat dicapai pada PAU kali ini.

Katanya, agenda ini penting untuk dicapai terutama sebagai persedian kepada parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15).

“Harapan saya supaya parti membuat ketetapan sebagaimana yang telah dilakukan pada PAU lalu iaitu tiada kerjasama dengan PPBM, PKR dan Dap.

“Suatu ketetapan yang serius tentang bagaimana hendak perkasa parti dalam usaha untuk menang pada PRU ke-15 itu kita minta pada kali ini.

“Satu perkara yang lebih konkrit perlu dicapai bagi mengelakkan parti menjadi lemah,” katanya.

Sementara itu, perkara sama turut dilontarkan oleh Ketua Puteri UMNO Bahagian Rembau, Nurulhuda Mohd Noor yang berpandangan persidangan ini sebagai medan untuk bertukar pandangan terutama melibatkan situasi semasa negara.

“PAU kali ini adalah lebih kepada membincang dan menyuarakan keresahan apa yang berlaku sekarang ini dengan keadaan ekonomi negara.

“Malah gerak kerja yang teliti dalam kita mendekati rakyat pada ketika ini pada keadaan norma baharu

“Jadi saya harap UMNO lebih memikirkan bagaimana hendak mendekati rakyat serta untuk tidak mengulangi kesilapan-kesilapan dahulu dan lebih membincangkan tentang bagaimana memenangi hati rakyat,” ujarnya.

PAU yang berlangsung empat hari akan dimulakan dengan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Merdeka esok.

Terdahulu pada Disember lepas, kepimpinan UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan PAU 2021 yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 15 Jan lepas akibat musibah banjir. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.