Calon BN Tinjau Proses Pengundian Awal, Santuni Pengundi Dan Petugas
JOHOR BAHRU, 8 Mac – Hari ini, Selasa merupakan hari pengundian awal yang melibatkan lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Dilaporkan sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bermula jam 8 pagi hingga 5 petang antaranya di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah, pejabat kerajaan dan juga di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalio Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.
Di SIMPANG RENGGAM, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang Abd Mutalip Abd Rahim pagi tadi meninjau proses pengundian awal di PGA Batalion 5, Simpang Renggam.
Abd Mutalip turut mengambil kesempatan menyantuni pengundi awal yang telah selesai mengundi.
Manakala di LEDANG, calon BN DUN Serom Khairin Nisa Ismail pagi tadi juga melihat proses pengundian awal di Balai Polis Sungai Mati, Tangkak.
“Selamat mengundi kepada semua pengundi awal di DUN Serom.
“Saya sebagai calon anak jati Serom, saya cukup bertuah kerana mendapat sambutan, sokongan tidak berbelah bagi dan kepercayaan rakyat di kawasan Serom,” katanya.
Begitu juga bagi calon BN DUN Pasir Raja Rashidah Ismail bersama wakil calonnya meninjau proses undi awal di Kem Pulada, Ulu Tiram, Kota Tinggi.
Di ISKANDAR PUTERI, calon BN Pandak Ahmad yang berkunjung ke pusat pengundian awal memuji kecekapan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PDRM, petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain dalam mengendali perjalanan proses pengundian.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelangsungan proses demokrasi ini diimplimentasikan.
“Kepada pengundi yang mengundi hari ini, ayuh semua tunaikan tanggungjawab kita untuk negeri kita. Pilihan anda penentu kestabilan masa depan negeri Johor. Pilihlah untuk Kestabilan Masa Depan,” katanya.
Di SRI GADING, calon BN bagi DUN Parit Raja Rashidah Ramli melihat perjalan proses undi awal di Balai Polis Sri Gading dan mengucapkan terima kasih kepada petugas yang bertungkus lumus memastikan semua proses berjalan lancar.
Menurut SPR, sebanyak 39 peratus telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka setakat 11 pagi tadi.
Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini dan hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac (Sabtu) ini. – UMNO ONLINE