Calon Penawar Rangka Pelan Terbaik, Tempoh Empat Tahun Pembangunan Kawasan

PENGERANG, 8 Mac – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri memberi komitmen untuk melaksanakan perancangan terbaik bagi penduduk di kawasan ini sekiranya beliau diberi peluang mendapat mandat daripada rakyat pada 12 Mac ini.

Katanya, selain menyambung segala program pembangunan yang telah dirangka penyandang sebelum ini iaitu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain beliau juga berazam melipatgandakan usaha untuk memperhebat kawasan ini meliputi peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi penduduk tempatan dalam tempoh empat tahun.  “Saya akan menyambung kerja baik wakil rakyat BN sebelum ini dan menambahbaik perancangan untuk faedah rakyat DUN Penawar.

“Kita susun keutamaan… selesaikan masalah dalam tempoh empat tahun termasuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk di Felda.

“Saya juga akan mewujudkan peluang anak muda, memaksima manfaat RAPID, pendidikan dan kemahiran generasi serta hiliran ruang keusahawanan dalam kepesatan Pengerang sebagai wilayah petroleum,” ujar beliau.

Fauziah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang memaklumkan dalam mengharungi kempen selama 14 hari ini beliau akan bertemu seramai mungkin pengundi khususnya jentera parti bagi menyuarakan hasrat beliau kepada pembangunan di Penawar.

“Saya cuba bertemu semaksima mungkin pengundi dan menzahir terima kasih budi kepada jentera… sehinggalah tiba pada masanya tapi yang paling mustahak adalah bekerja bersama selepas menang ini dengan semangat #KeluargaPenawar. Bantu saya, untuk bantu rakyat,” katanya.

Untuk rekod, DUN Penawar menyaksikan pertembungan empat penjuru, Fauziah akan menentang calon Mohd Faizal Asmar (Perikatan Nasional); Norazila Sanip (Pakatan Harapan) dan Rahmattullah Kamilin (Pejuang).

Fauziah antara sembilan orang calon daripada kepimpinan Wanita dan Puteri bahagian yang dicalonkan BN pada PRN kali ini bersama Haslinda Salleh (Tenang), Nur Fara Samsudin (Maharani), Nor Rashidah Ramli (Parit Raja), Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) dan Rashidah Ismail (Pasir Raja).

Turut dicalonkan, Norliza Noh (Johor Lama), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Khairin Nisa Ismail (Serom).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, penyandang iaitu Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mewakili BN menang dengan undian sebanyak 12,330 berbanding pencabar Ahmad Kamah Nor dari PKR yang hanya memperoleh 5,196 undi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.