Pengalaman Sebagai Pendidik, Pengerusi Belia Beri Kelebihan Rashidah Dekati Semua Golongan

TENGGARA, 7 Mac – Pengalaman Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja Rashidah Ismail sebagai warga pendidik sebelum ini memberi kelebihan untuk menarik keyakinan pengundi 18 tahun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Katanya, banyak pengundi muda kali ini membantu beliau berkempen menjadikan dirinya tidak kekok bergaul dengan mereka meskipun usianya kini 58 tahun.

“Sebenarnya saya bertuah sebab saya mantan pengerusi belia, jadi saya tahu apa yang anak muda nak. Kita dah buat pelbagai aktiviti, menyantuni warga muda, dia nak apa yang dia suka.

“Contohnya di Pasir Raja ini kita ada kelab motor cross. kita bagi sokongan dan semangat agar mereka dapat memanfaatkan kegemaran mereka dengan jalan yang betul,” katanya.

Malah, Rashidah berkata pengalaman beliau sebagai guru tabika KEMAS turut membantunya menyantuni golongan muda yang dahulu merupakan anak muridnya.

“Mereka yang datang pada saya, cikgu tidak kenal sayakah? Alhamdulillah ramai pengundi kali ini merupakan anak murid saya. Malah ada dua orang pelajar universiti turut sama kerjasama sebagai sukarela membantu berkempen,” katanya lagi.

Rashidah dalam masa yang sama turut menjelaskan, beliau tidak menggunakan paksaan supaya mengundinya, namun kesedaran masyarakat hari ini bagaimanapun dikatakan tetap akan memilih BN kerana keperitan hidup yang dilalui selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Saya berkata kepada mereka, kamu pilih yang kamu yakin. Yang kamu rasa kerajaan itu boleh memberi jaminan kepada masa depan kami. Sebab anak muda sekarang sudah matang, kita tidak boleh memaksa mereka lagi,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.