Pilihlah BN, Pengundi Ada Banyak Alasan Untuk Terus Tolak Calon Lain – Razali
JOHOR BAHRU, 6 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim menegaskan bahawa rakyat khususnya pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mempunyai pelbagai sebab dan alasan untuk menolak calon-calon lain dan mengundi Barisan Nasional (BN) dengan melihat kepada hal-hal yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 hingga ke hari ini.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Muar, selepas kalahnya BN pada PRU lalu, hari ini rakyat Malaysia disajikan dengan perkara yang tak pernah mereka bayangkan selama ini.
“Hal Parlimen, CSA, minority goverment termasuk juga pilihan raya yang berlaku berasingan ini. Itulah harga yang kita bayar untuk kita melihat pertukaran kerajaan ketika itu.
“Ini perkara yang sebenarnya meraikan demokrasi itu… kalau dulu habis pilihan raya kita terus buat kerja tapi selepas PRU lalu tak macam itu kerana selepas pilihan raya politik tak berkesudahan diteruskan, janji-janji tak dilaksana, retorik sana sini dan rakyat pun letih melihat kelaku itu semua.
“Ada ayat-ayat ‘katak’ dengan kedudukan kerajaan yang tak stabil, malah di Johor ini menteri besar ketiga dalam satu penggal sedangkan kalau dulu dua-tiga penggal seorang MB dan kemudian berlaku PRN ini atas nama demokrasi yang memberi hak kepada rakyat untuk memilih,” katanya.
Dalam hal ini beliau menjelaskan bahawa suasananya hari ini berbeza kerana pertama dalam PRN ini BN berdepan dengan parti yang pernah menjadi kerajaan sedangkan pada 2018, BN berdepan dengan parti-parti yang tidak pernah menjadi kerajaan.
“Kedua manifesto yang selama ini dijadikan bahan kempen tak dapat dilaksanakan dan mereka sendiri terpaksa sebut bahawa manifesto ini bukan kitab suci. Sebelum ini senang berjanji itu ini tapi bila dah menang tak boleh nak laksana, maka hari ini kita berdepan dengan kempen yang mereka sendiri tak berani nak janji itu dan ini.
“Kerana itulah kita tawarkan Ikhtiar BN… kerana ia usaha, kita buat ini kerana lawan kita itu berjanji yang bukan-bukan hinggakan akhirnya mereka sendiri tak berani panggil manifesto.”
Beliau berkata demikian menerusi segmen FBLive UMNO Online yang disiarkan malam tadi dengan tajuk ‘Perjuangan Seribu Liku’ dengan moderator Datuk Dr Azizan Mohd Noor.
Terdahulu, menerusi PRU-14, Razali tewas di Parlimen Muar kepada PPBM dengan majoriti 6,952 undi.
“Kita terima apa yang terjadi dan BN akui setiap kelemahan. Namun elemen utama yang kita mahukan untuk negara dan negeri adalah kestabilan. Bila kestabilan tak dapat dicapai maka amat sukar untuk laknasakan kemajuan. Selagi kita tak rasa sebagai satu maka susah nak buat kerja.
“Kerana itu Perdana Menteri kita, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri mulakan dengan ‘Keluarga Malaysia’ iaitu bersama-sama melaksanakan agenda untuk pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan anggota jentera untuk terus bekerja sehinggalah kepada hari pengundian.
“Kepada jentera, kempen, arahan kerja kena buat. Kita ada sasaran kerja, santuni pengundi seramai mungkin dan kepada pengundi maka undilah BN kerana asas-asas kepada perkara yang nak dilakukan bukan perkara main-main.
“Undi ini bukan soal hati atau perasaan, satu undi ini akan menentukan kepada apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Insya-Allah perkara yang terhenti akan kita teruskan dan jika diberi mandat penuh dan stabil maka kita akan dapat capai dan melunaskan perkara yang dijanji.
“Untuk pengundi muda pula, jalankanlah tanggungjawab, hantar signal yang betul kerana setiap undi ini memberi makna untuk memakmurkan masa depan kita semua,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor, manakala pengundian awal pada 8 Mac.
Untuk rekod, pengundi PRN Johor adalah seramai 2,597,742 orang yang terdiri daripada 2,574,835 pengundi biasa; 10,955 anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan termasuk Polis Pasukan Gerakan Am (PGA); dan 376 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara. – UMNO Online