Pengundi Semakin Matang Menilai Antara Kaca Dan Permata, BN Utamakan Rakyat – Fuad
JOHOR BAHRU, 4 Mac – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Naning Datuk Mohd Fuad Tukirin yakin pengundi di kawasan itu sangat bijak dan matang dalam menilai antara kaca dan permata di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Katanya, BN terbukti sejak dahulu sentiasa mengutamakan rakyat terutamanya dari segi kebajikan, pembangunan, pendidikan dan sentiasa menunaikan janji dalam manifesto.
“Lihat sahaja apabila 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah. Janji PH hanya tinggal janji. Ekonomi negeri Johor menjunam jatuh. PH dan sekutunya terbukti tidak mampu menunaikan janji apalagi mentadbir negeri Johor dengan baik.
“Pelabur di zaman PH tidak lagi mahu melabur di negeri Johor kerana tiada kestabilan politik dan kerana pentadbiran yang huru-hara dan tidak meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambahnya lagi, bagi mencapai kembali kemakmuran dan meningkatkan ekonomi, ianya perlu bermula dengan kestabilan politik.
“Kerana itu pilihan raya ini perlu diadakan dan BN akan kekal menjadi pilihan Bangsa Johor. Ayuh kita sama-sama membawa perubahan,” kata Ketua UMNO Bahagian Bakri itu lagi.
Fuad turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO negeri Datuk Hasni Mohammad atas kepercayaan kepada beliau mewakili BN di dalam PRN ini.
Fuad sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN Bukit Naning (JPKD DUN BUKIT NANING) di bawah kerajaan negeri Johor. – UMNO ONLINE