Ikhtiar BN Martabatkan Anak Muda Ke Tahap Lebih Baik – Hahasrin
PANTI, 6 Mac – Ikhtiar Barisan Nasional (BN) yang ditawarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merangkumi semua pelbagai peringkat masyarakat, menurut calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Hahasrin Hashim.
Katanya, Ikhtiar BN Johor juga akan menjadikan pentadbiran negeri lebih berintegriti selain memiliki hala tuju yang jelas buat anak muda Johor.
“Lima ‘Ikhtiar BN’ yang dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad baru-baru ini menawarkan kepada seluruh pengundi Johor dan juga undi18 dengan mengangkat orang muda Johor ke satu tahap yang lebih baik.
“Antara salah satu tawaran Ikhtiar BN pada golongan muda seperti akses pendidikan, perumahan sebagaimana BN mencuba perbadankan unit perumahan dan menjadi satu badan perumahan serta dapat bantu golongan belia ini secara terus dan berskala yang lebih besar.
“Perkara sebegini pernah diwujudkan dalam Dewan Muda Johor iaitu satu platform untuk meluahkan dan memberikan pandangan bagi pembangunan negeri Johor. Banyak perkara yang dibangkitkan di peringkat negeri untuk dibahaskan dan menjadi dasar serta rangka untuk pembangunan anak muda itu sendiri,” katanya ketika ditemui oleh UMNO Online, di sini.
Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Panti akan akan terus menerangkan kepada rakyat aspirasi parti demi kesejahteraan semua.
“Kita akan memperbanyakkan program-program bertemu dengan pengundi dan akan memilih satu aspirasi yang lebih baik. Pengundi-pengundi sedar apa yang telah berlaku selama ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila janji-janji palsu yang diberikan oleh mereka (PH).
“Saya yakin pengundi di DUN Panti dapat memberikan peluang kepada BN untuk mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan memastikan ekonomi negeri Johor meningkat demi kesejahteraan rakyat Johor,” ujarnya. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan