Parti Muda Ceroboh Aset Milik PIJ Holdings, Laporan Polis Dibuat
JOHOR BAHRU, 4 Mac – PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Johor melalui subsidiarinya PIJ Property Development Sdn Bhd (PIJ Property) telah membuat laporan polis terhadap Parti Ikatan Demokrasi Malaysi (Muda) berhubung pencerobohan dan penggunaan aset Inkubator Usahawan milik PIJ Property tanpa kebenaran.
Menurut PIJ Holdings, Inkubator Usahawan yang terletak di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru, Johor Bahru, dibangunkan bagi membantu usahawan muda untuk memulakan langkah mereka dalam bidang perniagaan.
“Ia tidak sesekali bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat operasi mana-mana parti politik.
“Rekod dan komunikasi terkini kami berkenaan premis tersebut hanyalah dengan seorang individu yang ingin menggunakan premis tersebut bagi tujuan perniagaan perabot jati dan bukan bagi tujuan bilik gerakan politik.
“Individu tersebut tidak dibenarkan untuk menyewakan premis tersebut kepada pihak lain,” tegas PIJ Holdings dalam satu kenyataan di sini hari ini.
PIJ Holdings, turut kesal kerana bukan sahaja aset premis ini tidak digunakan bagi tujuan keusahawanan tetapi malah lebih mengecewakan apabila penggunaan aset ini adalah tanpa pengetahuan, persetujuan dan perjanjian antara pihak PIJ Property dan pihak Parti Muda.
“Kami memohon pihak Parti Muda segera mengosongkan dan mengembalikan premis tersebut kepada pihak kami dalam keadaan baik dan asal.
“Bagi memastikan fungsi dan kemudahan usahawan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para usahawan di sekitar Johor Bahru, kami memohon agar perkara ini dapat diselesaikan segera dalam keadaan harmoni,” kata kenyataan itu lagi. – UMNO ONLINE