Enakmen Anti Lompat Parti Agenda Pertama Jika BN Bentuk Kerajaan – Hasni
JOHOR BAHRU, 1 Mac – Enakmen Anti Lompat Parti bakal menjadi agenda pertama Barisan Nasional (BN) sekiranya mendapat mandat daripada rakyat Johor untuk menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.
Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata perkara itu yang merupakan Ikhtiar Kelima BN pada PRN Johor iaitu reformasi politik, akan menjadi perkara utama sekiranya BN menang pada PRN kali ini.
“Dalam ikhtiar kita untuk mentransformasikan politik, kita dengan jelas sekali akan memperkenalkan dan usahakan supaya Enakmen Anti-Lompat Parti adalah agenda pertama kami.
Sebaik sahaja kita mengambil alih, pimpinan (akan) memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ikhtiar BN di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.
Selain itu, Kerajaan BN juga akan meneruskan pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang melalui peruntukan tahunan RM200,000, sama rata untuk semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai salah satu perubahan politik Kerajaan BN.
“Tidak kira pembangkang ataupun kerajaan, asasnya harus serupa, mereka menerima elaun yang sama. Sewajarnya, sedikit peruntukan bagi projek-projek kecil untuk semua 56 kawasan, tiada terkecuali harus diberikan kepada wakil-wakil rakyat,” kata Menteri Besar Johor itu.
Kata Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, perubahan sedemikian boleh memperkukuhkan proses semak dan imbang sesebuah kerajaan demokrasi.
“Itu penting kerana tak guna kita ada pembangkang yang jadi Pak Turut. Wakil rakyat di sebelah kerajaan terus merangka program-program yang sepatutnya dilakukan, sementara di pihak pembangkang juga sewajarnya menjadi semak dan imbang.
Ini adalah antara pendekatan yang saya kata ikhtiar yang akan dibuat BN dan inilah yang akan dipersembahkan kepada rakyat di luar,” kata beliau.
Selain itu, beliau berkata BN komited, sekiranya diberi mandat dua per tiga, akan mencadangkan persempadanan baharu bagi kawasan-kawasan yang terlalu ramai pengundi untuk memastikan keberkesanan wakil rakyat.
“Kita pun tahu banyak kawasan yang hari ini pengundinya beratus ribu. Kalau dah 100,000 (pengundi) untuk satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), itu adalah satu perkara yang mustahil untuk dipikul oleh seorang wakil rakyat.
Kita kena lihat perkara ini kerana akhirnya perkhidmatan wakil rakyat itu haruslah dapat memberi ruang dan peluang kepada masyarakat setempat, dalam mereka menerima perkhidmatan seorang wakil rakyat. Maka, mandat dua per tiga itu akan memberi kita ruang,” kata beliau. – BERNAMA