Penglibatan Anak Muda Terus Dipertingkatkan, Keterbukaan Galas Amanah Rakyat – Samsolbari

JOHOR BAHRU, 25 Feb – Calon Barisan Nasional (BN) bagi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali yakin penglibatan anak muda yang semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan satu perkara positif yang perlu dikembangkan dengan lebih meluas lagi.

Menurutnya, secara tidak langsung keterbukaan BN memberi ruang dan peluang kepada anak muda menggalas tanggungjawab adalah satu pengiktirafan yang cukup besar kepada golongan tersebut.

“Saya berharap agar  penglibatan orang muda di masa akan datang akan lebih lagi dari semasa ke semasa dan pastikan bahawa jaringan orang muda bersama dengan kepimpinan UMNO/BN terus dipertingkatkan.

“Golongan muda adalah sebahagian keluarga besar dalam masyarakat dan sewajarnya diberikan tumpuan dari semasa ke semasa malah ianya menjadi satu perkara yang lumrah kerana saya telah biasa dengan gologan tersebut khusus di DUN Semarang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam berharap agar masyarakat DUN Semarang terus memperkukuhkan serta memperkasakan muafakat dan perpaduan dikalangan DUN tersebut.

“Saya bertekad akan meneruskan perkhidmatan yang telah diberikan sebelum ini dan terus mempereratkan perpaduan, mengukuhkan muafakat dan mempertingkatkan lagi konsep kesukarelawan dalam masyarakat.

“Sewajarnya saya menginginkan masyarakat di DUN Semarang dan Parlimen Ayer Hitam agar menjadi satu masyarakat yang saling kasih mengasihi serta berpadu dalam segala hal dengan mengeratkan konsep muafakat dalam kehidupan harian,” jelasnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.