Senarai Calon BN PRN Johor Diumumkan Hari Ini, Sedia Masuk Gelanggang

JOHOR BAHRU, 24 Feb – Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan senarai calon yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac depan.

Majlis pengumuman itu akan diadakan di Bangunan UMNO Negeri pada pukul 10 pagi. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad serta pimpinan rakan-rakan komponen yang lain akan bersama-sama pada program tersebut.

Majlis pengumuman calon tersebut akan diadakan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) sepertimana yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi yang lain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pilihan raya manakala hari penamaan calon pula adalah Sabtu ini, 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Kehangatan kempen PRN Johor sedikit berlainan pada PRN Melaka apabila beberapa perubahan dilaksanakan oleh SPR antaranya penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Hanya individu yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan hadir dalam penganjuran program itu dengan penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tempoh setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan.

SOP pada program itu termasuklah mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

Kempen ziarah rumah ke rumah juga dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya dengan disertai tidak melebihi lima orang dan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain serta pemakaian pelitup muka.

Bagaimanapun, tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk berkempen atau berjumpa dengan ahli rumah.

Selain itu, sebarang aktiviti mengedarkan risalah hendaklah dibuat di luar pagar dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.