PRN: Calon Wanita Main Peranan Tarik Pengundi, Pastikan Sokongan Rakyat Berterusan
JOHOR BAHRU, 23 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosni Sohar berpandangan penambahan calon wanita terutama 30 peratus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memainkan peranan untuk menarik sokongan pengundi kaum ini.
Katanya ini kerana jumlah komposisi pengundi wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki bukan sahaja di negeri ini malah di seluruh negara.
“Perkara ini bersesuaian dengan komitmen dan tekad Wanita dalam memastikan parti terus mendapat sokongan rakyat terutama pengundi-pengundi di negeri ini.
“Dengan jumlah pengundi wanita yang melebihi 50 pengundi dari pengundi lelaki, kami yakin saranan ini dapat dipenuhi dan bukan lagi hanya memberikan janji manis kepada Wanita.
“Hal ini berlaku di seluruh Malaysia dan kami mengharapkan dengan penambahan jumlah calon Wanita di PRN Johor ini dapat menjadi indikator bagi persediaan mana-mana PRN dan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU ke-15) akan datang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO Malaysia berkata kejayaan Wanita pada PRN Melaka pada November lalu juga menjadi penanda aras apabila calon yang diketengahkan memperolehi mandat daripada rakyat.
“Mengambil contoh PRN Melaka, kebolehan dan kemampuan calon Wanita telah diterima rakyat untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri tempat mereka bertanding.
“Faktor kestabilan, kematangan dan kekuatan daya juang calon Wanita juga perlu dipertimbang. Wanita dalam apa jua yang dihadapi oleh parti tetap terus setia dan sanggup berkorban untuk menstabilkan negara.
“Tidak dapat dinafikan bahawa jentera _foot soldiers_ adalah wanita yang jadi benteng pertahanan hadapan kepada parti dan sedia berkhidmat untuk rakyat.
Katanya Wanita juga komited dan berazam untuk membantu semua calon terutama calon Wanita di PRN Johor sehingga membawa kejayaan Barisan Nasional membentuk kerajaan yang stabil di Johor.
Wanita UMNO Malaysia sebelum ini komited menuntut agar 30 peratus calon Wanita mendapat tempat dalam mana-mana pilihan raya bagi mengiktiraf peranannya sebagai tulang belakang parti keramat ini. – UMNO Online