PRN Johor: 800 Ribu Veteran UMNO Siap Siaga Bantu BN

SEGAMAT, 21 Feb – Kira-kira 800,000 ahli Veteran UMNO dalam jentera pergerakan itu di Johor bersedia digerakkan bagi membantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-15 (PRN-15).

Pengerusi Veteran UMNO Johor Datuk Othman Jais berkata, mereka sentiasa dalam keadaan bersiap siaga dan akan bekerja sebaik mungkin bagi memperoleh kemenangan cemerlang pada PRN-15 nanti.

“Kekuatan jentera ‘orang lama’ walau pun ada segelintir yang beranggapan ‘lambat panas’ namun sentuhannya perkara paling dihormati kawan (komponen BN) serta digeruni pembangkang kerana pengalaman sejarah perkhidmatan politik yang diberikan kepada rakyat sebelumnya amat berkesan.

“Kami mempunyai susun atur kerja yang tidak bermusim malah sentiasa mendampingi rakyat ketika senang mahupun susah,” katanya ketika ditemui di Batu Anam, di sini, hari ini.

Othman berkata, gerak kerja jentera sudah bermula tanpa menunggu adanya pengumuman PRN dan mereka tidak menunggu musim pilihan raya baharu sibuk untuk memulakan percaturan kerja.

“InsyaAllah, pengalaman kami pasti berkesan dalam menarik sokongan pengundi terhadap BN.

“Justeru, pengalaman mereka seperti bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas EXCO, bekas ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda serta jawatankuasa bahagian mampu membantu jentera di Johor untuk memastikan kemenangan BN.

“Kita bukan membuat kerja pada saat akhir, tetapi sentiasa turun padang memberi perkhidmatan sepanjang masa. Usaha itu akan turut digandakan bagi memastikan kemenangan calon BN,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac ini dengan hari mengundi awal pada 8 Mac manakala penamaan calon pada 26 Februari ini. – BNNEWSONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.