Kekal Fokus, Sentiasa Waspada SOP Kempen PRN Johor – Norshida

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim memgingatkan seluruh jentera pergerakan itu agar mengambil perhatian dan berwaspada dengan Standard Operation Procedure (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau SOP tersebut yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat memberi beberapa kelonggaran tertentu termasuklah dalam soal ceramah dan sebagainya.

“Kami menyambut baik atas kelonggaran dan beberapa nilai tambah bagi kebenaran aktiviti kempen sepanjang 14 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Antara kelonggaran adalah penganjuran kempen secara fizikal, ceramah, syarahan dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan dan ini mampu menolong Jentera Barisan Nasional (BN) khususnya Wanita untuk turun padang memberikan penjelasan bagi menyakini rakyat turun mengundi BN pada 12 Mac 2022,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Walau bagaimanapun, tambah Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, keseluruhan jentera perlulah mematuhi segala SOP yang dikeluarkan oleh pihak berwajib supaya kempen berjalan sebaiknya.

Antara lain tambah Norshida lagi SPR menetapkan bahawa ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Pihak penganjur pula perlu mendapatkan permit terlebih dahulu daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi segala ceramah, syarahan dan kempen diadakan di premis terbuka atau tempat umum sahaja.

“Diingatkan juga bahawa tempoh sesi berkempen ceramah dan syarahan terikat untuk dua jam, tidak melebihi jam 10.00 malam dan sebarang aktiviti hiburan sepanjang kempen adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Untuk kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan perlu bergerak berkumpulan tidak melebihi lima orang dan SOP juga tidak membenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli pengundi dan segala pengedaran risalah perlu dibuat di luar pagar.

“Setiap ketua jentera diminta agar sentiasa berhati-hati dan memahami segala SOP yang telah ditetapkan agar tiada melakukan kesilapan kecil yang mampu menjejaskan kemenangan mutlak BN, insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online

 

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.