Calon MB PN Hanya Boneka Muhyiddin? – Noor Azleen

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Noor Azleen Ambros berpandangan calon menteri besar Perikatan Nasional (PN) disifatkan seperti boneka kepada pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Katanya ini kerana penawaran bekas Perdana Menteri itu sebagai penasihat ekonomi Johor sekiranya PN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menjelaskan segala-galanya.

“Dengan peranan sebagai penasihat ekonomi, bermakna menteri besar Johor daripada PN tidak lebih sedikit pun fungsinya daripada boneka dan akan sentiasa berada di bawah telunjuk Muhyiddin.

“Pastinya, pemimpin yang sebegitu lemah yang rela membiarkan dirinya berada di bawah telunjuk mana-mana individu tidak layak memimpin Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang juga malah percaya bahawa perkara ini membuktikan PN sendiri sudah ketandusan pemimpin untuk diketengahkan dalam mentadbir Johor.

“Mengapa tidak Muhyiddin sendiri bertanding dan menjadi calon menteri besar? Itu risiko yang beliau sendiri sudah buat kira-kira akan kesan dan implikasinya.

“Dengan tidak bertanding, setidak-tidaknya Muhyiddin masih lagi boleh memasang angan-angan untuk menjadi calon Perdana Menteri PN. Daripada membiarkan PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mula menghitung hari lebih awal daripada persada politik tanah air.

“Itu sahaja bukti paling jelas, terang lagi nyata bahawa PN ketandusan personaliti bertaraf pemimpin yang mampu diketengahkan untuk dapatkan keyakinan 2.6 juta pengundi di Johor,” tegas beliau.

Terdahulu, Muhyiddin sebelum ini menawarkan diri sebagai penasihat ekonomi Johor sekiranya PN berjaya pada PRN Johor pada 12 Mac ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.