MKN… Berilah Sedikit Kelonggaran Berkempen – Fairul Nizam
ALOR GAJAH, 10 Nov – Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dilihat amat ketat dan keterlaluan, sekaligus menyukarkan kempen oleh semua parti politik khususnya calon-calon baharu yang diketengahkan oleh parti politik yang bertanding kali ini.
Bagi calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan atau lebih dikenali masyarakat dengan nama Along berkata, beliau menerima pelbagai rungutan daripada petugas dan jentera parti yang tidak dapat melaksanakan tugas berkempen dengan sempurna.
“Gerak kerja bagi PRN Melaka ini amat mencabar kerana MKN telah mengeluarkan SOP bagi calon-calon yang bertanding iaitu tidak boleh kempen rumah ke rumah, tak boleh buat ceramah umum jadi apa yang saya boleh buat… hanya menggunakan media sosial.
“Norma baharu ini sungguh mencabar bagi semua parti politik, tak kira parti UMNO/BN, PN (Perikatan Nasional) atau pun parti-parti lain namun demikian mengharapkan agar pihak MKN dapat memberikan sedikit kelonggaran berkempen,” katanya kepada ditemui UMNO Online, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Along menjelaskan jika dahulu segala ceramah sama ada berskala besar atau kecil dibenarkan namun kini ianya tidak dibenarkan tetapi hanya secara maya sahaja dibenarkan.
“Jika secara konvensional ceramah umum dibenarkan dan menjemput semua pengundi-pengundi hadir ke tempat ceramah namun kali ini cukup berbeza dan dilakukan secara maya.
“Jadi calon baru macam saya, agak sukar juga untuk memperkenalkan diri ke seluruh kawasan, pengundi bukan di kalangan ahli parti sahaja, jadi bagaimana rakyat khususnya di Asahan ini hendak mengenali Along, calon baharu yang diketengahkan BN untuk kawasan Asahan ini.
“Dalam jadual saya kerap mengadakan siaran langsung di halaman Facebook, walaupun ianya mendapat sokongan dari pelbagai pihak dan rakyat sudah mula belajar berkempen secara online, namun hakikatnya bukan semua orang yang berada dalam media sosial tu pengundi di Melaka, pengundi Asahan jadi ia tidak adil kepada kami calon baharu yang bertanding kali ini,” ujarnya.
Bagi kerusi N10 DUN Asahan, Calon BN, Fairul Nizam Roslan bakal berdepan pertembungan enam penjuru, selain calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Idris Haron dan Perikatan Nasional (PN), B. Dhanesh, beliau turut akan bertembung dengan tiga calon Bebas yang turut bertanding di situ.
Tiga calon Bebas tersebut ialah Azmar Abdul Hamid, 49; Mohd. Akhir Ayob, 50; dan Mohd. Nor Salleh, 43.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Asahan dimenangi calon BN, Datuk Abdul Ghafar Atan dengan majoriti 275 undian menewaskan calon PH, Zamzuri Arifin dan calon Pas, Azlan Maddin.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan tiada sebarang aktiviti ceramah yang menghimpunkan orang ramai atau secara fizikal tidak dibenarkan begitu juga aktiviti ziarah oleh calon atau penyokong parti ke rumah-rumah pengundi dan aktiviti walkabout tidak dibenarkan. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan