Lahabau: Fahami Budaya Dan Bahasa Tempatan – Rahmad Mariman
HANG TUAH JAYA, 11 Nov – Tindakan pemimpin Dap, Teo Nie Ching menggunakan perkataan ‘lahabau’ dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, satu tindakan keterlaluan seolah-olah menghina rakyat negeri tersebut.
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman menyifatkan pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah sengaja menimbulkan kemarahan dan mengguris hati rakyat Melaka.
“Bagi saya meletakkan satu label ‘lahabau’ kepada semua rakyat negeri Melaka adalah tidak tepat, Lebih baik fahami dahulu budaya, bahasa tempatan secara mendalam sebelum menuturkan sesuatu ayat.
“Kalau ini diamalkan tentu rakyat tidak marah, tiba-tiba keluar perkataan ‘lahabau’ adalah tidak elok dan lebih baik jangan keluarkan perkataan-perkataan yang sengaja mengguris hati rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga mantan Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka menjelaskan, sebenarnya rakyat Melaka ini memang dikenali cara pertuturannya agak kasar sedikit berbanding dengan negeri-negeri lain, cumanya bila hendak menuturkan sesuatu perkataan itu kena sesuaikan pada keadaan.
“Kena sesuaikan pada siapa yang nak sampaikan, kalau kawan rapat kita tidak jadi masalah, kalau bukan kawan rapat… tidak boleh jika menggunakan perkataan ‘lahabau’.
“Sebagai contoh jika kawan-kawan sebaya dengan umur dan berkata perkataan ‘lahabau…’ itu tak apa sebab kawan dan sebaya tapi kalau menggunakan perkataan yang sama pada orang yang lebih tua seperti imam masjid atau surau, tok sidang… sudah pasti tidak kena. Lebih baik jangan gunakan perkataan seperti ini,” tambahnya.
Tegasnya, banyak lagi perkataan lain yang boleh dituturkan untuk meletakkan imej budaya dan masyarakat negeri Melaka. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan