Jangan Cemuh Liu Ying-Peng Soon – Reezal Merican
TOKYO, 27 Julai – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, kecewa dengan komen negatif dilemparkan netizen terhadap gandingan Goh Liu Ying-Chan Peng Soon, sedangkan pasangan beregu campuran negara itu sudah menampilkan aksi sebaik mungkin, pada Sukan Olimpik Tokyo.
Beliau berkata jangan disebabkan gandingan beregu campuran negara itu gagal memberi impak di temasya Olimpik kali ini, mereka dicemuh dan jasa mereka selama ini dalam menaikkan nama negara di persada sukan antarabangsa, dilupakan.
“Saya secara peribadi amat kecewa sebab mereka telah lakukan yang terbaik. Kita kena ingat, lima tahun lepas, nama mereka dijulang kerana Jalur Gemilang berkibar (di temasya Rio 2016)…kerana mereka, negara kita dijulang.
“Dalam tempoh lima tahun untuk mereka kembali pada edisi Tokyo bukan satu perkara mudah, malah Liu Ying dan Peng Soon sudah tiga kali beraksi di Olimpik, maknanya sudah 12 tahun dan itu suatu tempoh yang lama dalam mengharumkan nama negara,” katanya ketika ditemui di Musashino Forest Sport Plaza.
Pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, pasangan Peng Soon-Liu Ying yang meraih pingat perak pada edisi Rio 2016, gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga aksi peringkat kumpulan, sehingga menyebabkan netizen melontarkan komen negatif terhadap gandingan itu di media sosial.
Pada aksi pembukaan, beregu campuran utama negara itu tumpas kepada pasangan Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet 18-21, 21-10, 16-21, sebelum tewas kepada gandingan Jerman Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich pada aksi 12-21, 15-21.
Dalam aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, Peng Soon-Liu Ying yang berada di ranking ketujuh dunia, tumpas di tangan pasangan nombor tiga dunia dari China, Wang Yilyu-Huang Dong Ping 13-21, 19-21.
Reezal Merican berkata, komen negatif seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan melemahkan semangat atlet Malaysia lain, yang masih berjuang di temasya sukan berkenaan.
“Agak malang bila mana atlet-atlet kita turun bertarung, di kala mendapat keputusan baik, mereka dijulang setinggi-tinggi tetapi di kala mereka tidak menepati apa yang diharapkan, mereka dikecam. Inilah yang terjadi kepada Liu Ying dan Peng Soon,” katanya.
“Kita masih ada Lee Zii Jia (perseorangan badminton lelaki), Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek) dan ramai lagi. Tiga puluh atlet Malaysia ini seperti sebuah keluarga mewakili aspirasi rakyat Malaysia. Cemuh seorang, yang lain akan terasa,” katanya.
Justeru, Reezal Merican berharap agar peminat sukan tanah air terus memberi sokongan kepada atlet Malaysia yang bersaing pada temasya di Tokyo itu.
“Menang mereka menang kita, kalah mereka kita juga sebahagian daripada kekecewaan mereka. Jangan fikir kita sahaja yang kecewa, mereka 100 kali kecewa,” katanya.- BERNAMA