Huffaz Perlu Kuasai Pelbagai Bidang, Pacu Kemajuan Negara – Ahmad Zahid
BAGAN DATUK, 27 Nov – Generasi huffaz perlu terus diperkasa bukan sahaja dalam penguasaan al-Quran, malah turut menguasai pelbagai bidang profesional bagi menjadi peneraju pembangunan negara dan peradaban dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha melahirkan generasi huffaz yang seimbang antara ilmu al-Quran dan kepakaran profesional merupakan antara aspirasi yang perlu terus diberikan perhatian.

“Antara impian yang sentiasa dekat di hati saya adalah untuk melihat anak-anak huffaz bukan sahaja menguasai al-Quran, malah turut menjadi peneraju dalam pelbagai bidang profesional serta menyumbang kepada kemajuan negara dan peradaban dunia,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan Himpunan 26K Huffaz Kebangsaan 2026 di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejak penganjuran Himpunan Huffaz dihidupkan semula pada 2023, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh pendidikan tahfiz negara.
Antaranya termasuk memperkukuh Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), memperluas laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)-Tahfiz, menyediakan pembiayaan pendidikan serta meningkatkan standard kualiti institusi tahfiz.
Katanya, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menuntut ilmu dan kemahiran terus dipandu oleh wahyu supaya kemajuan yang dicapai membawa manfaat kepada manusia.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi, ilmu mesti terus dipandu oleh wahyu. Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu menguasai teknologi, tetapi bijaksana menggunakannya demi manfaat kemanusiaan,” katanya.
Himpunan kali ini turut diserikan dengan program Bagan Datuk Bermunajat serta Pameran Artifak Rasulullah SAW dan para sahabat.
Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada para murabbi, guru tahfiz, ibu bapa dan semua pihak yang istiqamah mendidik serta membimbing generasi al-Quran.
Beliau turut mengingatkan golongan huffaz supaya tidak membataskan cita-cita dan terus mendalami pelbagai bidang ilmu kerana hafazan al-Quran bukan penghalang untuk mencapai kejayaan lebih besar.
“Hafazan menjadi kekuatan, ilmu menjadi keupayaan, al-Quran menjadi pedoman,” katanya. – UMNO Online
