Kebocoran Minit Pengampunan: Bila Tony Pua Mahu Dipanggil – Armand

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung dakwaan kebocoran dan penyebaran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, termasuk memanggil Tony Pua untuk memberikan keterangan.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berkata, beliau menyambut baik arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya PDRM menyiasat dakwaan berkenaan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang turut mempersoalkan bilakah Tony Pua akan dipanggil untuk membantu siasatan serta apakah tindakan yang telah diambil terhadap individu terbabit setakat ini.

“Kita tidak boleh mempunyai dua standard dalam penguatkuasaan undang-undang. Jika seseorang individu mendedahkan dokumen rasmi kerajaan kepada umum, perkara itu perlu disiasat secara menyeluruh tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar belakang politik individu tersebut.

“Tony Pua sendiri perlu memberikan penjelasan secara terbuka iaitu dari mana beliau memperoleh minit mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut? Siapakah individu yang menyalurkan dokumen berkenaan kepadanya.

“Apakah asas dan kebenaran yang membolehkan beliau mendedahkan dokumen tersebut kepada umu dan adakah beliau mengetahui status pengelasan dokumen berkenaan ketika pendedahan dibuat,” katanya.

Mengulas lanjut, Armand yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia menegaskan pihak polis perlu menyiasat bukan sahaja individu yang menyebarkan dokumen, tetapi juga pihak yang membekalkan dokumen tersebut.

“Jika wujud pelanggaran undang-undang, tindakan mesti diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab.

“Lebih penting, isu ini melibatkan minit mesyuarat sebuah institusi yang mempunyai kaitan secara langsung dengan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Justeru, soal integriti, kerahsiaan dan penghormatan terhadap institusi diraja tidak boleh dipandang ringan.

“Sekiranya siasatan mendapati pendedahan tersebut dilakukan tanpa kebenaran dan melanggar undang-undang, Tony Pua perlu bertanggungjawab, memberikan penjelasan serta memohon maaf secara terbuka kepada YDPA,” katanya lagi.

Tambah beliau, tidak meminta sesiapa dihukum tanpa siasatan dan hanya menuntut supaya siasatan dijalankan secara profesional, telus dan adil.

“No one is above law”. Jangan hanya berani mengambil tindakan terhadap pihak tertentu, tetapi berdiam diri apabila perkara sama melibatkan individu daripada kelompok politik yang mempunyai hubungan dengan kerajaan.

“Keadilan tidak boleh memilih warna politik. Undang-undang mesti ditegakkan kepada semua,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO