UMNO/BN Terus Jadi Tonggak Kestabilan Kerajaan Perpaduan – Azhar

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan UMNO/Barisan Nasional (BN) merupakan antara faktor penting dalam memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau berkata ini kerana UMNO/BN mempunyai kekuatan menerusi keahlian dan sokongan akar umbi dimiliki parti, sekali gus menjadikan UMNO antara komponen penting dalam memastikan kestabilan politik pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Apabila UMNO tidak berada dalam kerajaan, berapa lama sesebuah kerajaan itu mampu bertahan? Buktinya sudah ada… selagi mana ada UMNO, insya-Allah akan terus stabil.

“Walaupun kita kalah, tetapi UMNO masih mempunyai jumlah ahli yang besar dan masih mendapat kepercayaan sebahagian besar, malah lebih tiga perempat daripada orang Melayu.

“UMNO dicaci maki oleh netizen dan mereka yang tidak menyukai parti ini, kita perlu ingat bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang mempunyai keahlian yang cukup besar,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dalam pada itu Azhar turut berpandangan dakwaan bahawa kerajaan sedang bergoncang sejak kebelakangan ini berpunca daripada beberapa isu yang tidak ditangani dengan baik.

Antaranya menurut beliau ia termasuk isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak berkaitan Titah Adendum serta persoalan berhubung pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Sebenarnya terdapat beberapa isu yang tidak ditangani dengan baik sehingga menimbulkan polemik antaranya isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak, umpamanya berkaitan Titah Adendum.

“Akhirnya, timbul pula spekulasi mengenai bagaimana minit mesyuarat yang diklasifikasikan sebagai rahsia itu boleh dipaparkan dalam media massa. Isu ini menyebabkan masyarakat melihat seolah-olah kerajaan tidak stabil.

“Isu-isu seperti ini yang menyebabkan orang ramai melihat seolah-olah kerajaan sedang bergoncang, sedangkan hakikatnya tidak begitu kerana di peringkat Persekutuan, UMNO/BN masih mengekalkan sokongan kepada Perdana Menteri, beberapa pemimpin tertinggi UMNO juga telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sehingga Parlimen dibubarkan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO