Kebajikan Masyarakat Orang Asli Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Perak
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun memaklumkan kerajaan negeri sentiasa komited terhadap aspek kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lintang berkata ia termasuk melalui usaha penambahbaikan kediaman komuniti itu.
“Kerajaan Negeri Perak akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keperluan kediaman komuniti Orang Asli ditangani secara terancang mengikut keutamaan, kelayakan serta peruntukan yang tersedia.
“Antara perkara yang disentuh ialah usaha membaik pulih rumah yang uzur, membina rumah baharu serta memastikan aspek keselamatan, keselesaan dan kebajikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian,” katanya.
Zolkafly berkata demikian berkongsi jawapan diberikan beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak oleh soalan yang dikemuka ADUN Chenderiang, Choong Shin Heng berkaitan pembangunan dan penambahbaikan kediaman komuniti Orang Asli, hari ini.
Dalam perkongsian terdahulu, Zolkafly memaklumkan beliau turut menerima kunjungan hormat tok-tok batin dari DUN Jalong.

Beliau berkata, pertemuan itu menyaksikan pelbagai perkara dibangkitkan untuk tindakan lanjut, antaranya berkaitan naik taraf jalan, pembinaan rumah baharu dan baik pulih rumah, program sosioekonomi bagi menambah pendapatan, pendidikan anak-anak serta ancaman hidupan liar.
“Tok-tok batin berkenaan turut berkesempatan bertemu dengan YAB Menteri Besar Perak di pejabat beliau dan menyampaikan sendiri beberapa perkara berkaitan keperluan serta kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Saya menghargai keterbukaan mereka dalam menyuarakan permasalahan yang dihadapi. Insya-Allah, setiap perkara yang dibangkitkan akan diteliti dan diselaraskan bersama jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan susulan mengikut keutamaan.
“Kebajikan, keselamatan dan kemajuan masyarakat Orang Asli akan terus diberikan perhatian.” ujar beliau. – UMNO Online
