GST Lebih Telus, Menyeluruh Dan Berakauntabiliti Berbanding SST

1️⃣ Saya ingin membalas Kenyataan Balas Kepada Tony Pua, bekas Setiausaha Politik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan pada 2018 hingga 2020 berkaitan dengan GST vs SST. Tony Pua dan pihak yang mempertahankan SST wajar menjawab persoalan asas ini:

1. Apakah sistem SST mampu memberikan rekod transaksi lebih menyeluruh?
2. Apakah pemantauan SST lebih sistematik?
3. Adakah kutipan hasil negara daripada SST ini lebih baik berbanding GST?

2️⃣ Tony Pua perlu melihat isu GST dan SST bukan sekadar dari sudut kadar cukai, tetapi juga daripada aspek kecekapan sistem percukaian, ketelusan kutipan hasil negara dan kemampuan kerajaan mengawal ketirisan. GST merupakan sistem percukaian berasaskan penggunaan yang mempunyai mekanisme tuntutan cukai input dan rekod transaksi di sepanjang rantaian bekalan.
Mekanisme GST gunakan ini membolehkan pihak berkuasa membuat semakan silang (cross check) transaksi dengan lebih sistematik serta mengurangkan ruang untuk urus niaga tidak dilaporkan.

3️⃣ Berbeza dengan GST, SST mempunyai skop percukaian yang lebih terhad dan mekanisme kutipan yang berbeza mengikut kategori cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Ini sekaligus mewujudkan jurang pemantauan dalam rantaian bekalan serta meningkatkan cabaran penguatkuasaan.

SST yang mempunyai liputan lebih sempit dan rekod rantaian transaksi yang kurang menyeluruh sememangnya menimbulkan cabaran dari sudut pemantauan dan memberi ruang yang luas ketirisan berlaku.

4️⃣ Saya ingin ingatkan kembali kepada Tony Pua bahawasanya Data dan Fakta tidak menipu. Angka yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan melalui jawapan bertulis di Parlimen pada 10 Julai 2024 wajar diberikan perhatian.

Jumlah kutipan GST selama 3 tahun bermula dari April 2015 hingga Mei 2018 ialah RM184.8 bilion, sedangkan kutipan SST selama 5 tahun bermula dari September 2018 hingga Disember 2023 HANYA berjumlah RM150.4 bilion. Lebih penting, tempoh pelaksanaan GST jauh lebih pendek berbanding tempoh SST tersebut.

Fakta daripada Kementerian Kewangan sendiri menyebut purata kutipan tahunan SST adalah 51.6% lebih rendah berbanding GST.

5️⃣ Jelas sekali jumlah hasil cukai GST yang diperolehi daripada peniaga-peniaga besar ini kita dapat salurkan kepada rakyat melalui transformasi pendidikan, pembangunan, kesihatan dan pembinaan modal insan yang lebih baik TANPA menambah hutang negara lagi.

GST bukanlah tentang bahawa kerajaan boleh mengutip lebih berapa banyak cukai, TETAPI menunjukkan bahawa Malaysia berpotensi membina sistem percukaian lebih efisien dengan asas cukai yang lebih luas dan mekanisme perlindungan rakyat yang lebih baik.

6️⃣ YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bersuara tentang GST ini adalah untuk Kepentingan rakyat dan ketelusan pengurusan kewangan negara mesti menjadi keutamaan Kerajaan hari ini. Kita perlu realistik dengan pencapaian, bukannya mempertahankan sesuatu sistem tanpa menilai keberkesanannya berdasarkan fakta dan angka.

Janganlah menjadi seperti tikus membaiki labu, semakin banyak kerosakannya.


Datuk Noor Hariri Mohamed Noor
Mantan Juruaudit

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO