Pertumbuhan Ekonomi Perak Di Landasan Tepat, ‘Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina’

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata walaupun negeri itu sedang berada di landasan tepat dalam pertumbuhan ekonomi, namun masih banyak yang perlu dilakukan.

Ujarnya, wacana ilmiah Perak Economic Outlook 2027 yang berjaya diadakan penting untuk mendengar pandangan serta cadangan bernas daripada pakar-pakar, ahli akademik dan pemain industri.

“Bagi menilai kekuatan kita dan cabaran ekonomi yang akan Perak tempuhi di tahun mendatang serta merangka langkah pembangunan ekonomi yang lebih berkesan. Dalam tempoh empat tahun pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, banyak yang telah kita capai.

“KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Perak meningkat daripada RM80.5 bilion pada tahun 2022 kepada RM91.5 bilion pada tahun 2025, dengan pertumbuhan ekonomi 5.7 peratus, mengatasi kadar nasional 5.2 peratus.

“Sektor pembuatan pula mencatatkan pertumbuhan 15.2 peratus, tertinggi di Malaysia, manakala pelaburan swasta yang diluluskan melonjak daripada RM6.61 bilion kepada RM15.76 bilion dalam tempoh yang sama,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Jelasnya lagi, kedudukan kewangan negeri juga semakin kukuh dengan lebihan belanjawan empat tahun berturut-turut dan Perak berada di landasan untuk mencatatkan tahun kelima.

Tambah Saarani lagi, dalam ucapan perasmian, beliau menekankan bahawa tumpuan selepas ini adalah untuk memastikan setiap pelaburan yang masuk benar-benar diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pendapatan yang lebih baik dan ruang perniagaan yang lebih luas.

“Kita mahu projek-projek strategik seperti AHTV (Automotive Hi-Tech Valley), KIGIP (Kerian Intergrated Green Industrial Park), LuMIC (Lumut Maritime Industrial City), SVTP (Silver Valley Technology Park) dan Perak HIP (Perak Halal Industrial Park) terus bergerak maju.

“Dalam masa yang sama, anak-anak Perak mesti dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan industri supaya mereka tidak terlepas peluang pekerjaan yang bakal tersedia. Usahawan kecil, petani dan nelayan juga tidak boleh kita tinggalkan dalam arus pembangunan ini.

“Bagi saya, inilah makna sebenar kepada “Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina”. Kita mahu ekonomi Perak terus berkembang, tetapi yang lebih penting, hasil pembangunan itu dapat dirasai oleh lebih ramai rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani berharap dengan kerjasama semua pihak serta akan terus bekerja untuk memastikan momentum yang telah dibina ini membawa Perak melangkah lebih jauh. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO