PLKN Platform Pupuk Perpaduan, Raikan Kepelbagaian Kaum – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 16 Nov – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 menjadi platform penting untuk mendidik generasi muda agar meraikan kepelbagaian kaum dan memanfaatkannya sebagai kekuatan dalam memperkukuh perpaduan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kepelbagaian masyarakat Malaysia tidak seharusnya dilihat sebagai faktor yang memecahbelahkan, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membina kekuatan negara, termasuk dalam aspek inovasi dan penciptaan baharu.

“Jadi raikan kepelbagaian itu. Melalui kepelbagaian saya percaya banyak yang boleh dihasilkan soal inovasi serta penemuan-penemuan baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4 2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, peserta PLKN perlu membawa nilai itu ke dalam masyarakat sama ada ketika menyambung pengajian, memasuki alam pekerjaan atau menceburi bidang lain.
Beliau berkata, seramai 1,899 wira muda mengikuti PLKN di seluruh negara bagi siri akhir tahun ini dengan penyertaan yang disifatkan amat baik.
“Angka ini mencatatkan pencapaian cemerlang iaitu 102 peratus berbanding sasaran asal 1,860 pelatih. Secara terperinci melibatkan 1,149 pelatih lelaki dan 750 pelatih perempuan yang ditempatkan di enam Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) dan dua Pusat Latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di seluruh negara,” katanya.
Menegaskan PLKN bukan bertujuan melatih peserta untuk mengangkat senjata, beliau berkata, program itu sebaliknya berperanan memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, selain meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masing-masing dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Bukan untuk mereka ini terlibat dalam soal mengangkat senjata, tetapi sekurang-kurangnya nilai patriotisme, sayangkan negara itu ada pada mereka. Jadilah generasi yang terbuka, berlapang dada, tidak emosional dan tidak mengapi-apikan perpecahan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan golongan muda agar tidak mengambil ringan nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi Malaysia.
“Tanah air kita adalah maruah kita. Kita mesti mempertahankannya dengan apa saja cara sekalipun. Masa depan negara ini kami serahkan kepada saudara-saudari semua. Ambil dan pikullah tanggungjawab ini dengan penuh amanah dan rasa bangga,” katanya.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mej Jen Datuk Marzuki Mokhtar. – BERNAMA
