Kenapa Projek Pembangunan Ditangguh Di Kawasan BN-PN – Ramli
KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor ingin mendapatkan penjelasan mengenai projek-projek tertangguh yang dilihat berlaku di kawasan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Ketika sesi perbahasan, beliau yang juga bertindak selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat turut mempersoalkan penangguhan beberapa projek pembangunan jalan yang berlaku di Cameron Highlands.

“Cameron Highlands ingin bertanya perkembangan Jalan Pos Sinderut, Lipis yang anggaran perbelanjaannya berjumlah RM320 juta, dengan jarak 34 kilometer… yang telah diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan juga pembinaan jalan dari jambatan di Pos Lenjang ke Pos Titom, Lipis, dengan kos lebih kurang RM90 juta.
“Untuk makluman, jalan Pos Lenjang ke Pos Titom adalah di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, yang Ahli Dewan Undangannya ialah Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang sendiri.
“Saya difahamkan tender telah dibuka, tetapi perkembangan terbaru dimaklumkan bahawa projek tersebut telah ditangguhkan, termasuk Surat Setuju Terima (SST) kontrak yang turut ditangguhkan,” katanya.
Ujarnya, terdapat enam projek lain juga telah ditangguhkan dan SST kontrak bagi projek-projek tersebut turut ditangguhkan tanpa ditetapkan sebarang tempoh.
“Untuk makluman, projek-projek berkenaan adalah projek pembinaan jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Jalan Hutan Melintang, Parlimen Bagan Datuk, yang merupakan kawasan Timbalan Perdana Menteri sendiri.
“Selain itu, apa perkembangan terkini pembinaan jalan dan jambatan konkrit dari Kampung Enggum ke Sungai Mas dan Kampung Becah Salak, Kuala Krai, Kelantan, di bawah Parlimen Kuala Krai, pembangunan jalan dan jambatan menghubungkan Kampung Kok Majid ke Pulau Teluk Renjuna, di bawah Parlimen Tumpat, Kelantan?
“Begitu juga dengan projek menaik taraf jalan dari Kampung Wakaf Bunut ke Kampung Sarin, di bawah Parlimen Pasir Puteh; menaik taraf jalan dari Seksyen 2121, Kampung Pong, Pengkalan Hulu, Hulu Perak, di bawah Parlimen Gerik dan menaik taraf Jalan Parit Hailam dari Jalan Parit Raja Darat ke Jalan Parit Karjo, walaupun di bawah Parlimen Sri Gading, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)-nya ialah Yang Berhormat Noor Rashidah Ramli daripada BN,” soalnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut meminta penjelasan mengenai sebab penangguhan projek-projek yang disebutkan.
“Saya lihat rata-ratanya, semua kawasan yang projeknya ditangguhkan ini sama ada kawasan BN atau PN.
“Jadi, saya ingin mendapatkan penjelasan, apakah sebabnya? Saya agak pelik kerana projek di kawasan Timbalan Perdana Menteri sendiri turut ditangguhkan. Kalau mungkin yang lain-lain itu kawasan Yang Berhormat biasa, mungkin ada sebabnya.
“Apa yang saya ingin tahu ialah siapa yang memberikan arahan ini dan apakah sebabnya?” soalnya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
